
Beberapa kesan tinggalan sejarah di Gua Baturong, gua batu kapur yang dipercayai bekas penempatan pada Zaman Paleolitik - sekitar 10,000-30,000 tahun dahulu - mungkin boleh dijadikan produk bernilai dalam sektor pelancongan di daerah ini.
Dalam hal itu, pemuliharaan kawasan tersebut amat perlu kerana tempat itu juga masih terdapat ukiran kayu berbentuk keranda seolah-olah perahu kecil yang berusia ribuan tahun.
Dalam ekspedisi ke Gua Baturong baru-baru ini, Pegawai Perhubungan Adun Kunak, Laruna Lakile membawa sekumpulan pensyarah termasuk pelajar Kelab Sastera Mahasiswa, Sekolah Pengajian Seni Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang membuat penyelidikan dan penggambaran dokumentari berkaitan Gua Baturong turut menemui bekas tinggalan Zaman Paleolitik.
"Kawasan ini sunyi daripada kunjungan pelawat kerana lokasinya yang jauh", ujar Laruna.
Di kawasan gua ini, pelbagai bentuk ukiran batu ditemui. Antaranya seperti tempat perteduhan dan meletak barangan yang dipercayai digunakan oleh masyarakat purba ketika berburu di hutan.
Bagaimanapun, tinjauan yang dilakukan di sana menunjukkan kegiatan vandalisme seperti semburan cat ditemui di luar kawasan gua.
Bagi memelihara khazanah yang semakin dilupakan ini, usaha berterusan perlu dilakukan terutama tinggalan sejarah di sana dijaga dengan baik.
Merancakkan ekonomi terutama dalam sektor pelancongan memerlukan usaha berterusan yang memerlukan komitmen jitu semua pihak berkaitan bukan sahaja di sektor awam malah sektor swasta.
Di bawah pelan jangka panjang Sabah Development Corridor (SDC), kawasan tapak tamadun awal manusia di Tingkayu antara tempat yang dikenalpasti bagi sektor tertentu terutama berkaitan pelancongan.
"Terdapat banyak produk pelancongan di sini (Kunak), Gua Baturong dan kesan tapak sejarahnya itu adalah antara yang menarik untuk dilawati", kata Laruna.
Mengikut kajian yang dijalankan, lebih kurang 30,000 tahun dahulu, lahar dari letupan Gunung Mostyn telah membentuk tembok pada Sungai Tingkayu. Rentetan itu, tasik seluas kira-kira 100 kilometer persegi terbentuk di kawasan Lembah Tingkayu-Baturong. Bukit batu kapur Baturong menjadi sebuah pulau batu kapur di tengah-tengah tasik itu.
Dua belas ribu tahun kemudian, tembok lahar itu pecah. Tasik menjadi kering dan penduduk di sekitar tasik kehilangan punca tangkapan ikan. Penduduk di tebing tasik telah tersebar ke segenap arah dan ada sekumpulan mereka telah sampai ke Bukit Baturong.
Sejak itu, sejarah Zaman Paleolitik manusia purba terukir di sana dan kesan tinggalan penempatan mereka masih ada seperti yang boleh dilihat ketika ini.
Penemuan "Terowong Jepun" pada 1980-an di kawasan estet Mostyn di daerah itu juga suatu lagi fakta yang boleh dibuktikan bahawa terowong itu sebenarnya terbentuk daripada bekas aliran lahar gunung berapi Mostyn yang tidak aktif lagi.
Nama "Terowong Jepun" diambil berikutan kawasan terowong bawah tanah semulajadi itu pernah menjadi tempat persembunyian tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.