Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (Usbo) bahagian Kunak menggesa pihak yang berkenaan supaya mempermudah kaedah penunaian baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di sini.
Pengerusinya, Abdul Rahim Wahab berkata, kesesakan teruk yang berlaku di dua bank - BSN dan Maybank - di sini pada Selasa (7 Feb.) berpunca daripada kehadiran ratusan orang yang menunggu giliran untuk menunaikan baucar BR1M mereka di bank berkenaan.
Kebanyakan penerima itu merupakan penerima fasa kedua dan ketiga.
"Saya bertindak sebagai jurucakap NGO di daerah ini menggesa pihak pengurusan BR1M supaya memudahkan pengurusan pembayaran tunai kepada para penerima", katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, sejak awal pagi lagi kelihatan orang ramai mula mengerumuni kawasan bank untuk menunaikan baucar mereka.
"Lebih menyedihkan, golongan yang lanjut usia terpaksa duduk di lantai menunggu giliran. Bayangkan jika ada antara mereka yang mempunyai penyakit tertentu dan berasak-asak di sana", katanya.
Abdul Rahim berkata, mungkin kaedah lain boleh dipertimbang untuk diadakan kaunter pembayaran tunai seperti yang pernah dijalankan di Dewan Masyarakat untuk pembayaran tunai kepada penerima fasa pertama sebelum ini.
Katanya, ada juga dikalangan penerima bantuan yang memohon cuti untuk menunaikan baucar mereka.
Tambahnya lagi, keadaan premis di dua bank tersebut yang sempit menyukarkan banyak pihak terutama orang awam yang berurusan dengan bank pada hari yang sama.
"Saya akan mengajukan perkara ini dalam mesyuarat bersama pihak pentadbiran daerah bagi mempermudah urusan pembayaran tunai BR1M", kata Abdul Rahim yang juga Ahli Majlis Daerah Kunak.
Beliau turut menasihati mereka yang telah tersenarai sebagai penerima bantuan itu agar bersabar. - DE
0 ulasan:
Post a Comment