Bersungguh-sungguh, berkobar-kobar dan sampai ke tahap sindir-menyindir dalam ucapan dikhalayak ramai di majlis yang kononnya diberi nama "pemimpin Bersama Rakyat", diadakan bukan di lokasi awam tetapi di rumah individu tertentu, bukan lain tujuan hanya untuk menarik sokongan Ketua Cawangan khususnya dari Umno agar menyokong kepimpinan seseorang atau individu tertentu supaya dicalonkan sebagai "calon BN Kunak atau mungkin melobi sebagai calon Parlimen Silam" pada Pilihanraya akan datang.
Ironinya, yang melaksanakan program demikian langsung tidak menghormati prospek rasmi yang sepatutnya dilaksana seperti melibatkan kepimpinan di peringkat daerah, wakil rakyat sedia ada melalui jemputan rasmi, barulah nampak elok dan sempurna sesuatu majlis itu. Yang hadir perjumpaan di majlis itu merupakan menteri penuh tetapi program bukan di tempat khusus seperti Dewan Masyarakat.
Beginilah keadaannya dalam Umno, masih ada dikalangan pemimpin yang siok mementingkan kroni meskipun dalam ucapan berkobar-kobar untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka membawa keberuntungan saksama.
Lebih mendukacitakan, ucapan yang tersembur dari mulut pengucap cukup-cukup menyindir dan seolah menjatuhkan air muka sahabat dalam kalangan pemimpin Umno itu sendiri, niatnya mungkin mahu merampas tampuk pentadbiran daripada wakil rakyat sedia ada? Mana mungkin? Mungkin juga niatnya begitu? Jika ada kambing yang mendengar ucapan itu, sang kambing boleh menjadi saksi andai suatu hari nanti ia boleh berkata-kata seperti manusia normal, meskipun kenormalan pengucap bahasa sudah lari dari konsep persaudaraan dalam parti yang harus dan perlu dijaga, sesuai dengan saranan Presiden Umno agar semua pemimpin dan ahli bersatu bukan menimbulkan perpecahan dalam parti, lebih-lebih lagi ketika pilihanraya semakin hampir tiba.
Jikalah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ketika itu, tentu pemimpin terbabit dibisik selepas itu atau diberi telunjuk untuk lebih menghormati rakan pemimpin dalam parti yang sama.
Orang yang sihat boleh jatuh sakit, dan orang yang sakit boleh sembuh dengan keizinan-Nya. Kita sebagai manusia biasa tidak perlu terlalu egois dengan kesihatan yang Tuhan berikan, mungkin suatu hari nanti ujian lebih getir kita terima berbanding mereka yang mengalami masalah kesihatan tertentu.
Orang Kunak atau hadirin terutama Ketua Cawangan Umno yang hadir di program itu mendengar apa yang diluah dan diucapkan oleh pemimpin berkenaan. Adalah bohong jika ada yang tidak mendengarnya kerana suara datang melalui cerobong pembesar suara yang boleh didengari sehingga menelusuri ke cuping telinga sang kambing di luar sana.
Presiden Umno Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya bijak menilai siapa calon BN yang mempunyai karektor untuk diketengah sebagai calon sesuai dalam PRU akan datang di Kunak. Begitu juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mempunyai pendirian untuk meletakkan calon yang sesuai dan bukan calon import kerana Orang Kunak tatap menolak calon luar, Jika kehendak orang Kunak disisihkan, tunggu dan lihat sahaja kebangkitan individu tertentu untuk menentang calon BN import. Sudah diuji pengalaman lalu, kehadiran calon import hanya menguntungkan kroni dan bukan serius untuk membangunkan Kunak, sekalipun mereka (calon import) cuba membangunkan Kunak, prasarana yang didirikan hanya menguntungkan kontraktor bukan masyarakat keseluruhannya kerana kualiti dan spesifikasi kemudahan awam dibina atas landasan mencari keuntungan untuk bergelar "jutawan RM".
Pemimpin seharusnya muhasabah diri, bukan menunjuk keangkuhan dan menggunakan "kuasa wang" semata untuk mendabik dada kononnya mereka pejuang bangsa dan agama.
Ada ketika kita harus mendongak ke langit dan usah sesekali meludah ke atas .
Fikirkan dan renungkan.
0 ulasan:
Post a Comment