Lebih 41 kontinjen dari jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, badan NGO, syarikat swasta menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Kunak dari padang pekan ke Dewan Masyarakat yang dirasmikan oleh Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang Sabtu lalu di sini.
Pengerusi jawatankuasa induk majlis tersebut yang juga Pegawai Daerah, Susilo Sumarto menggesa umat Islam menjadikan Maulidur Rasul sebagai medan utama bagi menyebarkan Islam dan mendidik anak-anak mengingati perjuangan dan sirah Rasulullah S.A.W.
"Tarikh 12 Rabiulawal adalah detik penting kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W yang membawa rahmat dan menjadi penyelamat umat manusia.
Umat Islam memperingati tarikh kelahiran baginda dengan menyambut Maulidur Rasul yang menjadi landasan terbaik bagi menunjukkan rasa cinta kita kepada Nabi Muhammad, katanya, sambil menyeru masyarakat khususnya umat Islam agar berpegang teguh kepada ajaran agama dengan mengamalkan sikap toleransi, berkasih-sayang dan saling hormat-menghormati.
Turut hadir, Pegawai Pelajaran daerah, Zamri Pehakan, Pemangku Ketua Polis Daerah ASP Zulmukhry Ismail, Pegawai Rela Kunak, Lt Kol. Mohd Rosmi Saad, pemimpin-pemimpin masyarakat, serta umat Islam dari pelbagai kaum.
Majlis itu juga diisi dengan penyampaian berzanji, dan ceramah agama oleh jemputan khas, serta penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan sepanduk.
0 ulasan:
Post a Comment