
Perlaksanaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dapat memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya penduduk di sesebuah kampung mengenai kerjasama yang perlu diterjemahkan menerusi penubuhan Rukun Tetangga (RT) yang mana ia dapat membantu mencegah jenayah dan menangani gejala sosial.
Berobjektif antara lain membantu pihak berkuasa seperti polis dalam penguatkuasaan undang-undang, memberi perlindungan kepada nyawa dan harta benda, penubuhan SRS di kampung diharap dapat menarik minat pelbagai peringkat usia untuk bekerjasama dalam memastikan matlamat penubuhan SRS itu mencapai objektifnya.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kg Sungai Atas, Norshima Simon berkata demikian kepada wartawan selepas majlis perasmian penubuhan SRS di kampung berkenaan baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Penolong Pengarah Skim Rondaan Sukarela, Zaiazrul Nizam Zaini mewakili Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sabah.
Hadir sama, Ketua Polis Balai (OCS) Jinius Matthews, Pegawai Rela Daerah , Lt Kol. Mohd Rosmi Saad, Pegawai Perpaduan daerah Kunak, Abdul Rahmat Maulilullah.
Norshima berkata, penubuhan SRS di kampung berkenaan merupakan perintis penubuhan SRS di beberapa KRT di daerah Kunak pada masa akan datang.
"Pada malam itu juga, ahli-ahli SRS telah mengadakan rondaan di kampung tersebut bersama anggota Polis, Rela dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), yang mana kita mendedahkan mengenai kaedah rondaan yang perlu dilakukan ketika operasi dijalankan", katanya.
Menurut beliau, penwujudan SRS di sesebuah kampung juga adalah untuk mempertingkat semangat kejiranan dikalangan penduduk setempat serta memulihkan keadaan setempat itu agar menjadi lebih aman, harmoni dan sejahtera.
"Untuk itu, bagi menggalakkan penyertaan dalam SRS, setiap ahli diberi perlindungan insurans nyawa sebagai bantuan jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini", ujarnya.
Norshima berkata, dibawah KRT, penwujudan kumpulan jiran muda, jiran wanita, Tunas muda, dan Jiran usia emas, adalah sebahagian usaha penyatuan masyarakat pelbagai agama, bangsa dan menggalakkan semangat kejiranan dikalangan penduduk di kampung-kampung.
Terdahulu pada pagi sebelum itu, satu Perjanjian Persefahaman (MoU) diujudkan antara pihak Polis dan KRT Kg Sungai Atas di Ibu Pejabat Polis Daerah bersama Ketua Polis Daerah Kunak, DSP M.Radzali Mahmud.
Aktiviti rondaan yang diadakan oleh ahli SRS Kg Sungai Atas pada hari itu turut disertai oleh Pengerusi-pengerusi KRT dari Kg Lormalong, Simpang Empat, Kg Airport Batu 10 dan Giram.
0 ulasan:
Post a Comment