warga emas, duduk di luar Dewan Masyarakat Kunak pada Sabtu lalu menunggu majlis penyerahan baucer yang dikatakan diadakan pada hari itu
Seawal 7 pagi pada Sabtu lalu, orang ramai mula berkumpul di perkarangan Dewan Masyarakat di sini atas tujuan yang sama - majlis penyerahan baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 kepada penerima-penerima yang nama mereka telah dipamerkan di Pejabat Daerah sebelum ini.
Namun, daripada kira-kira 200 orang yang berada di situ, kebanyakan mereka kecewa kerana majlis penyerahan baucer tunai itu tidak diadakan seperti yang dimaklumkan oleh kakitangan agensi yang berkenaan.
"Saya datang awal dari Madai. Kami diberitahu hari ini (Sabtu - 21 Jan.) ada baucer diberikan, tapi tiada", ujar warga emas Lawrence Majawat, 87, ketika ditemui di luar Dewan Masyarakat.
Lawrence berkata, namanya dan seorang rakannya disenaraikan dan dipamer di Pejabat Daerah Kunak.
"Saya sudah semak nama di pejabat daerah beberapa hari lalu, jadi saya hadir hari ini kerana ada orang yang beritahu bahawa majlis penyampaian baucer itu akan diadakan hari ini", kata Lawrence.
Kata seorang lagi penerima yang kesal dengan keadaan tersebut:
"Sampai di sini saya juga tunggu, nampak ramai orang juga sedang duduk di luar dewan".
Ada dikalangan yang hadir juga meluahkan rasa kurang senang dengan pengumuman yang dibuat oleh pihak tertentu yang menghendaki mereka hadir untuk mengambil baucer yang difahamkan akan disampaikan oleh wakil rakyat di dewan pada Sabtu.
"Sudah la kami orang susah, datang sini pun jadi susah", kata seorang ibu yang ingin hanya dikenali sebagai Nur.
"Kalau hari ini tiada majlis penyerahan baucer, kami perlu dimaklumkan dengan segera dan letakkan notis di luar dewan", keluhnya.
Pejabat Daerah Kunak dan pejabat bahagian perkhidmatan wakil rakyat tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.
0 ulasan:
Post a Comment