Friday, December 30, 2011

Pangkalan Kunak akan distruktur semula

Pangkalan Kunak, yang dulunya terkenal sebagai pusat pengumpulan kayu balak di sini, akan distruktur semula dalam perancangan jangka panjang di daerah itu. Antara prospek yang telah disusun ialah mewujudkan jalanraya Pangkalan by-pass, bagi mengurangkan masalah kesesakan lalulintas di kawasan tersebut pada masa akan datang. Pegawai Daerah Kunak, Susilo Sumarto berkata, penempatan nelayan di kawasan itu akan disusun sebagai perkampungan budaya di daerah ini apabila projek perlaksanaan jalanraya by-pass itu dilaksanakan yang dijangka mengambil kos kira-kira RM10 juta.

"Penduduk di kampung Pangkalan akan ditempatkan di kawasan khusus sementara perkampungan nelayan sedia ada disusun semula sebagai kampung tradisi", katanya di Majlis Penyampaian Projek Bekalan Adun Khas dan Penyerahan Kunci Rumah PBR daerah Kunak 2011 di Dewan Masyarakat, Selasa lalu. Bantuan khas itu disampaikan oleh Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang.

Program pembangunan jangka panjang itu juga melibatkan pembinaan jalanraya yang akan menghubungkan kawasan Pangkalan dan Jaya Baru melalui pesisir laut yang dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas ke Pasar Ikan apabila siap kelak.

Susilo berkata, masalah utama di Pangkalan Kunak ketika ini ialah kesesakan jalanraya ke Pasar Ikan dan penempatan penduduk di Kg Pangkalan kerana hanya laluan utama (Jalan Pangkalan) yang ketika ini digunakan oleh orang ramai setiap kali pergi dan balik.

Dalam perkembangan lain, projek-projek infrastruktur asas luar bandar seperti jalanraya, bekalan air dan elektrik akan terus diutamakan di kawasan yang belum mempunyai kemudahan tersebut.

Ketika ini katanya, lebih 80 peratus capaian bekalan elektrik telah disalurkan ke kawasan perkampungan di Kunak dan ia akan ditingkatkan pada masa hadapan.

Mengenai bekalan air luar bandar di Kunak, Susilo menjelaskan, projek pemasangan paip dan tangki simpanan kini dalam perlaksanaan yang mana projek itu termasuk menggantikan paip-paip lama yang sudah terbenam dan tidak lagi berfungsi.
Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) itu dijadual akan siap pada Ogos tahun hadapan.

Lanjutan itu katanya, untuk masa akan datang, daerah Kunak dijangka memerlukan 20 MLD (Juta Liter Sehari) pengeluaran air bersih sehari bergantung kepada permintaan semasa.

"Buat masa sekarang, keupayaan loji sedia ada adalah sehingga 12 MLD sehari dan kerja-kerja ujian pengepaman tekanan air masih dijalankan oleh pihak terlibat", katanya.

Kerja-kerja penggantian paip lama kepada paip baru yang bersaiz besar yang mampu menampung jumlah yang diperlukan.
"Keperluan air bersih disalur utamakan ke kawasan seperti Hospital yang memerlukan jumlah yang berterusan", katanya.

Susilo berkata, Program Bantuan Rumah (PBR) akan diteruskan dan mereka yang layak memohon boleh mengemukakan permohonan melalui Pengerusi JKKK di setiap kampung untuk direkod dalam daftar e-kasih.

Kampung terlibat yang diberi bantuan khas Adun pada hari itu antaranya, Kg Asli Baru, Ulu Madai, Kunak Tiga, Lormalong, Kunak Jaya, Bagiang, Kunak Darat, Sri Bahagia, kampung Sg Atas, Sg Langgas, Kg Selamat, Hampilan, Pangi Hujung, Kasnuri, Jaya Baru, kg Air Port Batu 10 dan Telaga Tujuh. Setiap kampung berkenaan memperoleh 50 buah kerusi plastik yang diwakili oleh Pengerusi JKKK masing-masing.
Selain itu, bantuan komputer, Laptop, dan mesin cetak (printer) turut diberi kepada beberapa penerima tertentu termasuk sekolah.


Wednesday, December 28, 2011

Industri burung walit berpotensi di Kunak

Industri burung walit dilihat mempunyai potensi yang baik untuk diusahakan di Kunak kerana wujud faktor yang dapat menjamin kelangsungan industri tersebut untuk dikembangkan.
Perunding Borneo Walit & Consultation, Lahari Lasari berkata, keadaan iklim di rantau ini sesuai untuk pembiakan walit.

Lahari yang juga Penasihat Koperasi Wawasan Lasari, berkata hakikat ini harus dimanfaatkan oleh mereka yang berminat untuk mengusahakan industri berimpak tinggi itu yang menjanjikan pulangan lumayan.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas Program "Sembang Walit" anjuran bersama Borneo Walit Consultation dan Koperasi Wawasan Lasari di Rumah Rehat Kerajaan dekat sini, Isnin lalu. Turut sama di majlis itu ialah Pengerusi Usbo Kunak, Abdul Rahim Wahab.

Program penerangan sehari berkaitan industri burung walit itu dihadiri lebih 80 peserta dengan fokus pendedahan program untuk memberi panduan dan penerangan potensi industri burung walit di Sabah.

Program itu juga adalah dokongan kerajaan melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN) dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurutnya, untuk menggalakkan penglibatan pelbagai golongan masyarakat dalam industri sarang burung walit, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah merangka pelan induk pembangunan sarang burung walit sehingga tahun 2020 yang menggariskan tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan oleh pelbagai agensi dan pihak swasta yang terlibat dalam menjayakan pembangunan industri burung walit di negara ini.

"Objektif serta strategi pelan induk ini adalah bertujuan untuk mencapai Bidang Keberhasilan Utama (KRA) dalam meningkatkan pengeluaran sarang burung walit", katanya.
"Khasiat sarang burung walit yang tinggi menjadikan nilai pasarannya tinggi dan 70 peratus lagi permintaan dunia yang masih belum dipenuhi", katanya.

Lahari berkata, umumnya daerah Kunak di Sabah telah dikenali dengan wujudnya Gua Madai dan produk berasaskan sarang burung walit secara semulajadi.

"Untuk itu, dengan minat dan keupayaan serta kemahiran, projek burung walit menjanjikan pulangan yang lumayan", tambahnya.

Katanya, tanah pertanian terbiar di kampung-kampung yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk untuk memperoleh pendapatan berterusan.
"Ia juga dapat menjana pendapatan mereka dan pada masa yang sama melonjakkan ekonomi negeri apabila projek sarang burung digerakkan sebagai suatu industri baru yang diperhebat", ujarnya.

Beliau berkata, industri ini boleh digerakkan melalui koperasi-koperasi kampung dengan pemilikan saham penduduk supaya boleh diuruskan secara terancang.
Di samping itu, katanya ia juga boleh dijadikan satu lagi produk tarikan pelancong bagi negeri ini dengan mewujudkan pusat sarang burung dengan penyediaan produk-produk cenderahati, muzium dan rumah burung'.

Untuk menjayakan industri itu, mereka yang ingin menceburinya perlulah memikirkan lokasi yang sesuai bagi mengelak pelbagai kemungkinan berlaku seperti diserang penyakit, rungutan, gangguan bunyi dan sebagainya, disamping mematuhi peraturan-peraturan sedia ada.

Anyaman tikar mengkuang mampu bersaing di pasaran

Seni anyaman tikar mengkuang mampu bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa sekiranya pengusaha memiliki kreativiti dan inovasi yang tinggi untuk menghasilkan produk yang menepati citarasa pelanggan.

Dalam usaha untuk menggalakkan pengusaha menceburi seterusnya mengembangkan produk tersebut, Pembantu Penolong Pegawai Daerah (AADO), Mohd Hatta Arabi berkata, pihaknya akan memastikan pengusaha tikar mengkuang yang memiliki kreativiti tidak dipinggirkan selain membantu mereka untuk meningkatkan kualiti produk berkenaan sesuai dengan aspirasi menyokong program SDSI (Satu Daerah Satu Industri).

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Program Pembangunan Kraftangan Kursus Anyaman Mengkuang anjuran Yayasan Sabah zon pantai timur selatan yang diadakan bermula 17 hingga 23 Disember lalu, di sini.

Mohd Hatta berkata, para peserta program tersebut perlu memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang mereka peroleh dengan berusaha memotivasi dan mendaya kreativitikan bakat mereka untuk menghasilkan tikar mengkuang yang boleh menembusi pasaran di tempatan dan juga luar daerah seterusnya di peringkat global.

"Kemahiran dan ilmu yang diperolehi dapat direalisasi dan kemahiran itu jika perlu dapat diterapkan kepada generasi muda supaya kesinambungan penghasilannya dapat dipertahan", katanya. Turut hadir di majlis itu, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Maimunah Datuk Zainal.

Menurut beliau, kerajaan negeri memutuskan untuk membina Pusat Kraftangan Sabah di Keningau dibawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang mana ia bakal menjadi pusat pemprosesan dan pengumpulan kraf.

Sunday, December 25, 2011

Manfaat, syukuri bantuan kerajaan

Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang menyeru penerima bantuan peralatan membaiki rumah dikalangan golongan berpendapatan rendah agar memanfaatkan bantuan yang diberikan disamping bersyukur dengan apa yang mereka perolehi daripada kerajaan.
Kerajaan katanya, amat mengambil berat kebajikan rakyat di negara ini dengan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan sama ada wang ringgit atau berbentuk material yang dapat meringankan beban rakyat.

Beliau membuat gesaan itu ketika menyampaikan peralatan membaik pulih rumah kepada 40 penerima di Kampung Hampilan dan Kg Kasnuri, dekat sini baru-baru ini.
Menurut Nilwan, penerima berkenaan adalah mereka yang telah dikenalpasti oleh pihak penilai - Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung , dengan menyenaraikan penduduk yang memerlukan bantuan bagi pembaikan struktur rumah. Bantuan yang disalurkan itu termasuk 750 keping zink, 410 papan lapis dan 20 asbestos. Turut hadir pada program lawatan itu, Pemimpin Kemajuan Rakyat, Halid Harun. Bantuan serupa juga akan diberikan di kampung lain dalam masa terdekat ini.

Beliau memberitahu, selain bantuan sebegitu, kerajaan juga memastikan mereka yang mempunyai anak-anak yang bersekolah diberikan wang tunai RM100 setiap seorang bagi persediaan untuk ke sekolah pada awal tahun depan.

Selain itu, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memerlukan ketua isi rumah mengisi borang BR1M masih berjalan ketika ini sehingga tarikh akhir penerimaan borang pada 10 Januari depan. Borang berkenaan boleh diperoleh di pejabat daerah atau pejabat LHDN.
Selepas itu, ketua isi rumah yang layak akan mendapat bantuan RM500 melalui BR1M yang dijangka diagihkan bermula pertengahan bulan Januari 2012.

"Kerajaan sangat prihatin dengan keperluan rakyat dan mereka perlu juga berusaha untuk memajukan ekonomi dengan memanfaatkan segala bantuan yang diberi secara percuma itu", ujar beliau.

Saturday, December 24, 2011

Manfaat bantuan BR1M

Ahli Parlimen (MP) Silam, Hj Salleh Kalbi menyeru masyarakat agar memanfaatkan bantuan kerajaan dibawah Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) . Bercakap kepada wartawan di majlis penerangan Bajet 2012 yang diadakan di Dewan Masyarakat anjuran Jabatan Penerangan baru-baru ini, Salleh turut menyeru agar masyarakat lebih peka dengan maklumat semasa yang disampaikan terutama berhubung dengan BR1M.

Katanya, borang BR1M adalah percuma dan bukan "dijual-beli" oleh itu, masyarakat seharusnya mendapatkan borang berkenaan secara percuma di pejabat atau agensi kerajaan yang terpilih seperti Pejabat Daerah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Tarikh tutup penghantaran borang BR1M ialah pada 10 January 2012.

Thursday, December 22, 2011

Begitu seriusnya pencemaran sungai di Sabah


Laporan akhbar tempatan baru-baru ini menyebut, Persatuan Perlindungan Alam sekitar Sabah (SEPA) menyokong penuh cadangan mendakwa kilang-kilang minyak sawit yang menjadikan sungai-sungai Sabah sebagai pembetung sisa buangan. Ini harus termasuk memenjara para pengarah dan pengurus kilang-kilang yang ingkar itu dan bukan setakat denda.

Presiden Sepa, Wong Tack mendapati Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun sendiri telah mengetuai pegawai agensi-agensi kerajaan yang berkenaan seperti Jabatan Tanah dan Ukur, DID, EPD, DOE, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah melawat kilang-kilang itu serta tapak pembuangan sisa di lokasi tertentu dan tapak lain untuk mendesak para pengilang itu melakukan sesuatu tetapi mereka terus juga ingkar.

Laporan itu turut menyebut bahawa, menteri berkenaan berkata, pencemaran sungai-sungai di Sabah telah "tidak terkawal" dan mendakwa kilang-kilang yang ingkar di mahkamah adalah antara pilihan terbaik.
"Ini lebih baik daripada meningkatkan kompaun yang tidak berkesan", kata Wong Tack.
"Industri minyak sawit di Sabah adalah pemeroleh hasil terbesar Sabah dan juga pencemar terbesar yang merosakkan kualiti air banyak sungai kita yang besar mahupun yang kecil", beliau dipetik sebagai berkata.

Kajian EPD dua tahun baru-baru ini mengenalpasti kilang-kilang dan ladang kelapa sawit sebagai sumber utama pembuangan langsung sisa dan beberapa bahan buangan lain di semua pusat pengambilan air untuk Sandakan, Lahad Datu dan Beluran, memusnahkan kehidupan di sungai-sungai dan perairan pantai di hilir Sungai Kalumpang (berhampiran Kunak) dan Pang Burong, dekat Tawau.

"Bagaimana kemusnahan sumber air, tanah dan hutan kita ini dibiarkan berterusan begitu lama tanpa sebarang konsekuens?", tanya Wong, sambil menambah, agensi-agensi kerajaan yang tubuhkan khusus untuk melindungi sumber penting semula jadi negara dan negeri tidak berfungsi.

Di Malaysia Barat (Semenanjung), sisa kilang sawit memusnahkan sungai-sungai di situ begitu teruk sekali sehinggakan mendapat bantahan meluas yang memaksa kerajaan persekutuan menyediakan draf Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan enakmen itulah yang membawa kepada penubuhan Jabatan Alam Sekitar (DOE) pada 1976 pada asasnya mensasarkan industri kelapa sawit bagi menghalang dan mengawal pencemaran sisa kilang minyak sawit.

"Tetapi menakjubkan setelah hampir 40 tahun DOE diwujudkan, belum ada sebarang tanda yang DOE telah mencapai sebarang manfaat yang membantu Sabah menjaga sungainya dan kualiti air mereka bebas daripada pencemaran sisa kilang toksik, baja kimia, racun rumpai yang dilarang serta galian berat", katanya _ menurut laporan itu.

"Kebanyakan kakitangan DOE Sabah adalah pegawai penguatkuasa... mereka tidak menunjukkan sebarang kemajuan", tambahnya. "Jika mereka masih gagal menjalankan tugas mereka setelah hampir separuh abad, saya cadangkan supaya DOE serahkan mandat mereka kepada Sabah untuk menjaga sungai dan tanah mereka sendiri", katanya. 

"Kita tahu sumber utama pencemaran datang daripada ladang-ladang dan sebahagian besar daripada 123 kilang sawit sedia ada dan banyak lagi akan muncul, lebih banyak tanah akan dibuka. Walaupun terdapat EIA bagi penanaman dan penanaman semula, banyak syarikat besar termasuk GLC menjalankan kerja tanpa mematuhi keperluan EIA itu", kata Wong.

SEPA juga mengkritik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kerana gagal menjalankan kaji selidik dan memajukan sistem rawatan pintar dan berkesan POME yang seharusnya mewujudkan industri sifar sisa sejak lama dulu, walaupun ia mempunyai sumber kewangan yang banyak untuk berbuat demikian, kerana ia memperoleh berbilion-bilion ringgit daripada industri itu melalui ses.

"Setakat akhir Oktober 2011, Sabah mengeluarkan 5.3 juta tan CPO (minyak mentah sawit). Levi ses pada RM13 satu tan CPO bermakna MPOB memungut ses berjumlah RM63 juta dalam 10 bulan", kata Wong Tack dalam kenyataan yang disiarkan media tersebut.

"Jumlah wang yang besar itu adalah untuk digunakan ke atas R&D dan sisa, seperti pembuangan POME seharusnya mendapat fokus nombor satu tetapi kenapa sehingga hari ini industri di sini (Sabah) masih mencemari keseluruhan ekosistem dan melakukan pengeluaran secara tidak mapan", katanya.

ulasan saya : Tinjauan yang pernah dijalankan di beberapa lokasi di Kunak juga mendapati ada syarikat perladangan (GLC) yang tidak melakukan sistem perparitan yang sempurna di kawasan ladang kelapa sawit sehingga menyebabkan air deras menenggelamkan kawasan lot perumahan persendirian (perkampungan) tiap kali hujan lebat berlaku. Lebih mendukacitakan, pihak pengurusan syarikat terbabit bersikap seperti "telinga kuali" kerana langsung tidak mengendahkan masalah itu meskipun telah disuarakan oleh pihak JKKK melalui mesyuarat yang diadakan bersama pihak pentadbiran daerah. 

Wednesday, December 21, 2011

Minggu Media Sosial Malaysia 2012 dianjur 13-17 Februari

Malaysia buat pertama kalinya akan meraikan Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2012 mulai 13 hingga 17 Februari depan yang turut diadakan serentak di beberapa bandaraya utama dunia, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Ibrahim Abdul Rahman.

Menurutnya, program itu yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan beberapa lokasi lain di ibu negara diadakan untuk mewujudkan serta merapatkan hubungan pengamal media sosial melalui pendekatan terkini dan mudah serta menangani isu-isu generasi muda supaya menggunakan media sosial dengan cara lebih positif.

Program ini dianjurkan oleh Social Media Chambers, iaitu organisasi yang mempromosi dan menyokong penggunaan media sosial secara berdisiplin dan beretika, dengan sokongan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

"Kementerian akan sentiasa menyokong program seumpama ini kerana ia turut melibatkan industri kreatif yang diterajui kementerian.
"Kita mahu menggalakkan lebih ramai anak muda untuk mewujudkan bahan-bahan untuk media siber dan media-media lain dengan memberikan dana-dana tertentu dan mahu menjadikan industri ini sesuatu yang sangat berkembang dalam negara", katanya kepada pemberita semasa taklimat mengenai MSMW 2012, di Putrajaya Isnin lalu.

Ibrahim berkata pelbagai acara akan diadakan sepanjang minggu itu dengan kemuncak utama acara adalah Perhimpunan Blogger dan Media Sosial Antarabangsa 2012 yang akan menampilkan pakar-pakar dan pengamal media sosial elit seluruh dunia.

Selain itu turut diadakan adalah Majlis Anugerah Blogger dan Media Sosial Antarabangsa 2012 yang akan mengetengahkan penulis-penulis blog serta aktivis media sosial yang terbaik di peringkat global yang telah dicalonkan untuk pencapaian cemerlang mereka dalam arena media sosial.

"Anugerah ini akan dapat membangkitkan satu pengiktirafan dan juga semangat kepada pengamal media sosial kerana objektif kita tadi untuk mendidik penggunaan yang positif, maka kita rasa perlu diangkat beberapa orang untuk diberikan pengiktirafan itu", katanya.

Ibrahim berkata, mana-mana pihak yang berminat untuk mengadakan program ini di negeri masing-masing juga digalakkan berbuat demikian dan penganjur juga mengalu-alukan sebarang cadangan untuk penambahbaikan program itu", kata beliau.

Sementara itu, Ketua Social Media Chambers Shahul Hameed Dawood berkata, antara golongan sasaran yang akan menyertai MSMW adalah ketua pegawai eksekutif, pengusaha korporat dan industri, wartawan dan penulis media online, bloggers, pengurusan komunikasi korporat, penuntut institusi pengajian tinggi, pakar-pakar teknologi maklumat, pemimpin politik dan agensi-agensi kerajaan.

"MSMW dijangka akan menghubungkan ratusan ribu pengguna media sosial dalam dan luar negara. Ia juga diharap dapat mewujudkan cetusan idea baru secara interaktif, menambahkan pengetahuan serta perkongsian rangkaian perhubungan global sesama pengamal media sosial", katanya.

Menurutnya, pihak yang berminat menyertai program itu diminta melayari laman web www.socialmediaweek.com.my untuk keterangan lanjut. - Bernama

Tuesday, December 20, 2011

Bekalan air bersih, keperluan penting penduduk



Bekalan air paip merupakan prasarana yang amat diperlukan oleh penduduk di Kg Mostyn Lama dan Kg Sri Bahagia yang terletak dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kg Mostyn Lama, Arifin Samad berkata, kemudahan bekalan air paip amat perlu disalurkan ke kawasan itu memandangkan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) sedang dijalankan ketika ini di daerah ini yang merangkumi mukim Madai dari Loji air Sg Kalumpang.

"Apa artinya jika Kg Sri Bahagia yang sudah lama wujud di sini tidak mempunyai bekalan air paip yang terawat. Lebih-lebih lagi penduduk di sini adalah penyokong kuat kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini", ujar Arifin.

"Tidak munasabah jika ada pihak yang menidakkan atau cuba menyekat penduduk luar bandar daripada merasai nikmat kemajuan yang dibawa oleh kerajaan", kata Arifin yang turut menyokong gesaan oleh jurutera Air Daerah Kunak, Jefri Eki seperti yang dilaporkan dalam akhbar Harian Ekspres, Sabtu lalu.

Jefri mendesak agar syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) tidak terlalu mengenakan syarat ketat dalam projek BALB .

Beliau juga memberitahu, pihaknya ditegah daripada memasuki kawasan estet untuk kerja-kerja pemasangan paip air dibawah projek BALB negeri Sabah bagi kawasan daerah Kunak ke Kg Sri Bahagia di Mostyn.

Monday, December 19, 2011

Siapa yang harus didahulukan, rakyat atau ..... ?


Sesuatu perkara yang melibatkan pembangunan untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat tidak sepatutnya dipersulitkan. Jika berlaku situasi yang boleh mencetuskan perkara yang tidak menyenangkan rakyat ia tentu akan memberi konsensus kepada sokongan rakyat terhadap kerajaan. 
Dalam hal demikian, semua sektor sama ada swasta disaran berganding bahu memberi kerjasama yang sewajarnya terhadap dasar-dasar dan pelan hala tuju pembangunan di negeri Sabah. 

NKRA yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri khususnya yang membabitkan usaha kerajaan untuk memperkasa prasarana luar bandar seperti penyediaan bekalan air bersih, jalanraya yang sempurna dan sebagainya perlu mendapat dokongan yang jitu dari semua peringkat termasuklah dari sektor swasta. Tanpa kerjasama yang padu dan konsisten, tentu usaha kerajaan untuk membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat di luar bandar akan terbantut. 

Perdana Menteri pernah menyuarakan bahawa perlunya kerjasama sektor swasta dan agensi kerajaan dalam memperkasa pembangunan prasarana untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat semasa beliau membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat .

. Daily Express (Harian Ekspres) 17 December 2011
 newspaper-cutting /flashback : Projek BALB di Kunak, Syarikat enggan beri kerjasama 

. Kampung Sri Bahagia di Mostyn sudah lama wujud dan kebanyakan penduduknya merupakan warganegara Malaysia yang masih dahagakan pembangunan terutama bekalan air bersih. 
Disebabkan kawasan perkampungan itu hanya boleh dihubungi melalui jalan darat melalui kawasan estet milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC), berlaku kekangan bilamana projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang sepatutnya disalurkan ke kawasan kampung tersebut menghadapi kesulitan disebabkan tidak ada kerjasama yang padu diberikan antara syarikat swasta dan pihak kerajaan dalam usaha memperkasa NKRA luar bandar.

Jika situasi itu terus berlarutan, penduduk di kawasan terbabit tentu akan rasa terpinggir dan menghadapi kesulitan yang berpanjangan andainya bekalan air bersih gagal disalurkan ke kawasan kampung tersebut.


Program 'kampung wifi' akan diperluas ke Kunak



Ahli Parlimen (MP) Silam, Dr Hj.Salleh Kalbi berkata, penwujudan 'kampung wifi' di luar bandar perlu diperluas termasuk ke Kunak sebagai kemudahan maklumat untuk mempermudah rakyat di kawasan desa mendapatkan informasi yang cepat dan berkesan.
Usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah mewujudkan banyak 'kampung wifi' di luar bandar di negeri Sabah dan Sarawak menandakan suatu pencapaian penting dalam usaha menggunakan sepenuhnya teknologi tanpa wayar atau "wireless-fidelity" (WiFi) untuk menambah baik keterkaitan atau 'connectivity' kepada perkhidmatan internet.

"Saya melihat bahawa kampung Sungai Atas di Kunak juga perlu diwujudkan 'kampung wifi' dimana penduduk khususnya belia dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan apabila program itu dilaksanakan di sini", katanya kepada wartawan ketika meninjau perkampungan Sg.Atas pada Ahad.

Dalam program turun padang itu, Salleh turut menyalurkan bantuan makanan tambahan kepada beberapa warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) serta penyampaian kerusi roda khusus kepada golongan OKU di kampung berkenaan. Terdahulu, beliau meninjau keadaan perparitan di kampung berkenaan dan juga surau yang memerlukan pembaikan.

Menurut Salleh, pihak pentadbiran di situ diseru agar mengenalpasti tapak sesuai untuk perlaksanaan "kampung wifi" menerusi program jalur lebar di Sabah.
"Kita sedia membantu penduduk untuk lebih celik maklumat sesuai dengan zaman teknologi sekarang ini dan Kunak tidak akan dipinggirkan dalam pelaksanaan dasar jalur lebar nasional (NBI)", katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memuji pihak penganjur seperti Kemas yang aktif mengadakan program sukaneka di peringkat kampung dalam usaha memupuk semangat kekeluargaan, muhibbah dan tolong-menolong yang menjadi budaya seterusnya diserapkan dalam diri anak-anak.
Katanya, penglibatan semua peringkat usia sama ada kanak-kanak dan orang dewasa dalam program sukaneka membuktikan wujud persefahaman yang baik dikalangan penduduk kampung. Dalam masa sama, mereka juga menitikberatkan aspek penjagaan kebersihan yang menjadi asas penting dalam kehidupan.

Di majlis sukaneka yang diadakan pada Ahad itu, ianya diisi dengan acara seperti meniup belon, bowling padang, pancing botol, tiup tepung, tarian kebudayaan, aktiviti memungut sampah dan pelbagai lagi.
Turut sama di majlis itu, Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang, Pengerusi JKKK Kg.Sungai Atas, Awang Haris, Ketua Kampung, Abdul Mutalib Umar dan Penyelia Perhubungan Kemas kawasan Kunak, Norazlin Awang.

Saturday, December 10, 2011

Pengerusi JKKK, Ketua Kampung boleh kerjasama agih borang BR1M

Ahli Dewan Rakyat kawasan Silam, Hj Salleh Kalbi menyerahkan borang BR1M kepada Ketua Kampung Lormalong untuk diagihkan kepada penduduk dan mereka yang layak memohon.


Ahli Parlimen (MP) Silam, Hj Salleh Kalbi mengingatkan pemimpin di peringkat kampung terutama Pengerusi JKKK dan Ketua-ketua Kampung memberi kerjasama seadanya dalam membantu penduduk memperoleh borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi penyaluran bantuan kewangan RM500 kepada ketua isi rumah yang layak. Beliau berkata, borang bantuan itu juga boleh diperolehi di pejabat perhubungan Ahli Dewan Rakyat P.188 Silam di bangunan Sapang, dekat pekan Kunak di sini, selain pejabat-pejabat/ agensi kerajaan terpilih seperti Pejabat Daerah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan beberapa yang lain.

Memandangkan Kunak belum mempunyai pejabat cawangan LHDN, ahli Parlimen itu dengan inisiatif turun padang ke Kunak pada Sabtu mempermudah rakyat memperoleh borang BR1M dalam agihan yang dijalankan.
"Pastikan rakyat di kawasan anda tidak tercicir dalam mendapat bantuan BR1M", katanya di kampung Lormalong.
Beliau sebelum itu merasmikan 'Seminar Kepimpinan & Organisasi' anjuran Yayasan Sabah zon Pantai Timur Selatan yang diadakan di dewan mini kampung berkenaan.

Salleh juga mengingatkan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dengan 'mengenakan caj tertentu' untuk menyalurkan borang BR1M kepada mereka yang memerlukan.
"Borang BR1M ini merupakan borang percuma dan jika ada sesiapa yang mengenakan bayaran tertentu terhadap penyaluran borang tersebut, sila lapor kepada saya atau kepada pihak Polis dan pejabat daerah", tegasnya menambah, beliau mendapat maklum (khabar angin) bahawa ada pihak tertentu di sesuatu kawasan yang mengenakan "bayaran sehingga RM15" bagi setiap borang BR1M , dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
"Kita memandang serius perkara seperti itu", ujarnya.

Salleh berkata, pihak LHDN juga ada membuka "kaunter semasa" berhampiran padang pekan Kunak pada Sabtu untuk pengagihan borang BR1M kepada mereka yang memerlukan, dan orang ramai khususnya di daerah Kunak dapat mengambil peluang itu.

Dalam perkembangan lain, Salleh menyeru masyarakat kampung agar bekerjasama dengan kepimpinan di kawasan mereka menerusi program-program yang diadakan oleh organisasi yang sedia ada. Menyentuh program Seminar Kepimpinan dan Keorganisasian yang diadakan pada hari itu anjuran kumpulan Yayasan Sabah, beliau berharap para peserta yang terlibat dapat menimba ilmu dan menggarap pengalaman, seterusnya mengadaptasikan kemahiran dan pengetahuan yang mereka peroleh menerusi program tersebut untuk diterjemahkan.

Beliau juga menyebut tentang pentingnya serapan nilai-nilai murni, sahsiah dan moral yang positif dalam usaha melahirkan insaniah yang cemerlang sebagai peneraju kepimpinan masa kini dan akan datang.

Turut sama di majlis itu, Pegawai Rela daerah Kunak - Lt.kol Rosmi Saad, Penolong pegawai pelajaran daerah, Ketua Kampung Lormalong, Pengerusi JKKK dan penduduk sekitar.

Saturday, December 03, 2011

'secangkir kopi, seulas pendapat'

Persidangan Agung Umno 2011 akan berakhir hari ini (Sabtu) , tentu banyak mesej yang dibawa oleh para perwakilan ke kawasan masing-masing setelah berkampung hampir seminggu di Kuala Lumpur.

Topik yang mendapat perhatian ialah berkenaan "winnable candidate" (WC) atau calon boleh menang yang bakal diketengah pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti. Berbagai-bagai pendapat yang disuarakan berkenaan WC ini .

Persoalannya yang harus difikirkan ialah:
. Adakah calon yang dipilih nanti sudah bersedia untuk berhadapan dengan serangan-serangan peribadi dalam media sosial (facebook, twitter, blog dan sebagainya) tatkala presiden Umno menegaskan bahawa peranan media sosial sangat 'bertenaga' dalam perjuangan untuk melihat kelangsungan dan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU 13 kelak.

Pihak parti lawan tentunya menggunakan laman sesawang untuk bertindak melemahkan calon yang ditentang. Pendirian presiden Umno sendiri menghendakkan supaya sekurang-kurangnya calon atau pemimpin BN menggunakan media sosial untuk berinteraksi dengan masyarakat (rakyat) dalam apa jua maklumat yang disampaikan secara terus lebih-lebih lagi kepada generasi muda yang merupakan pengundi majoriti dalam PRU 13 _ juga mereka adalah kumpulan yang banyak menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat terkini.

Ketika ini pun, banyak juga kita melihat isu yang berlingkar dalam internet dikalangan pemimpin sama ada dalam parti Umno atau parti pembangkang yang sekilas jika dilihat ia boleh mempengaruhi pemikiran pengundi.

. Bagi ahli-ahli Umno, mereka ditekankan agar mengutamakan kepentingan parti melebihi dari kepentingan peribadi. Jika calon yang dipilih kelak sama ada muka baru atau calon lama, adakah yang baru itu sudah bersedia untuk melakukan perubahan dalam erti kata lain turut bersama pemimpin lama menganjak perubahan untuk merealisasi pembangunan yang mencakup kebajikan rakyat ?.

Benar juga apa yang dinyatakan oleh presiden Umno, ahli atau sesiapa yang tidak dipilih sebagai calon sama ada pelobi-pelobi atau pemimpin lama tidak sepatutnya menjadi duri dalam daging, menikam dari belakang atau main belakang
Bukan hanya di hadapan sahaja sanggup angguk tanda setuju untuk "bersatu, bersetia, berkhidmat" kepada parti namun yang utama ialah mereka mempunyai jatidiri dan kesanggupan mendahulukan kepentingan parti daripada mendabik cabaran untuk menentang dari belakang yang akhirnya memusnahkan impian parti mencapai kemenangan.

Gandingan muka lama dan baru calon-calon Barisan Nasional dalam PRU 13 akan datang akan menentukan sama ada mereka yang dipilih itu benar-benar calon boleh menang atau sebaliknya dan banyak bergantung kepada penerimaan rakyat di kawasan masing-masing.
Jika sudah kedengaran 'sikap apati', atau pemimpin yang banyak bercakap di hadapan umum tetapi kurang bekerja dan turun padang ke kawasan tertentu, mereka itu tidak mustahil akan menerima hukuman daripada pengundi .

Presiden Umno juga mengingatkan para pemimpin agar mengamalkan konsep wassatiyah (kesederhanaan) dalam apa jua perkara kerana ;
keriakan, egoisme, dan sikap menunjuk-nunjuk 'kekayaan' dikalangan pemimpin Umno juga menjadi penyebab mengapa sokongan rakyat beralih semasa PRU 12 yang lalu.

Sikap segelintir pemimpin yang menghadiri sesuatu majlis atau bertandang ke kampung dengan kebanggaan menaiki kenderaan seperti Super King dan seumpamanya amatlah tidak diminati pengundi. Malangnya, sikap suka memperlihat kekayaan kepada rakyat dikalangan pemimpin seakan menjadi trend yang sukar dielak meskipun mereka upaya memiliki kemewahan tersebut.
Lebih tak sedap telinga mendengar, dalam terpaksa mata memandang , ada juga pemimpin yang mengagung-agungkan kemewahan mereka di hadapan umum.

Tambah mengharukan, ada juga pemimpin muda Umno yang bersikap berat tangan, masih bodoh sombong (istilah yang mungkin sesuai) bagi mereka yang bersikap acuh- tak acuh, kerana tidak sudi menyambut panggilan telefon daripada sebilangan pengundi termasuklah wakil media setelah dihubungi berkali-kali. Bagaikan tupai menunjuk handal tetapi melompat jatuh terpelanting, pemimpin seperti itu sepatutnya tidak lagi harus berada bersama saf kepimpinan Umno yang menunjangi dan mengutamakan rakyat melebihi kepentingan peribadi. Jika sikap demikian diamalkan oleh individu terbabit, ia tentu memberi gambaran sinis bahawa pemimpin seperti itu tidak mesra rakyat .

Presiden Umno, Datuk seri Najib Tun Razak tentu telah menggariskan kriteria pemilihan calon Winnable Candidate (WC) yang pada pengharapan beliau calon yang bakal diketengahkan kelak benar-benar boleh menambat hati rakyat, sedia mendengar pendapat dan cadangan oleh rakyat, seterusnya menggalas tanggungjawab memastikan rakan-rakan komponen BN yang lain sedap mata dan senang hati menerima calon yang dipilih .

Sesungguhnya, bukan akademik menjadi ukuran utama, bukan juga usia menjadi penentu, bukan kemewahan yang harus diutama, bukan bercakap banyak menjadi sandaran,
... tetapi bagi presiden Umno, calon BN yang akan ditentukan kelak adalah mereka yang boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, boleh bersama rakyat dan sentiasa setia untuk berjuang kepada parti, agama dan negara kerana kelangsungan Umno sebagai parti peneraju kekuatan BN bakal menentukan nasib jatuh dan bangunnya parti keramat itu.

- ibrahim tabir

Friday, December 02, 2011

ARKIB BLOG

PRU 13 : SIAPA CALON BN DUN KUNAK? (SCOOP 19 SIRI)

BURAS

BURAS
Buras or Burasa, which is made from rice and cooked in coconut milk, is usually served with beef and chicken dishes. For the Bugis Muslim community in Sabah East Coast, especially in Tawau, Kunak and Lahad Datu, Aidilfitri / Aidiladha celebration would not be complete without the Buras. Buras it is usually eaten with the 'ayam masak lengkuas'.

NEW KUNAK ATTRACTION? UNDERGROUND TUNNEL IN KUNAK, SABAH.

NEW KUNAK ATTRACTION? UNDERGROUND TUNNEL IN KUNAK, SABAH.
The underground tunnel (pictured) believed to be left behind by Japanese soldiers during World War II (WW2) has been identified as a potential tourist attraction in Kunak. Kunak Assemblyman, Datuk Nilwan Kabang explored the site with several officials on May 15 located at an oil palm estate owned by Sime Darby. The tunnel, which will also attract archeologists, is found to be unique in a sense. - click photo

EKSPLORASI KE LOKASI PRODUK PELANCONGAN BERPOTENSI - XPDC 2010 REPORT BY IBRAHIM TABIR