Ahli Parlimen (MP) Silam, Dr Hj.Salleh Kalbi berkata, penwujudan 'kampung wifi' di luar bandar perlu diperluas termasuk ke Kunak sebagai kemudahan maklumat untuk mempermudah rakyat di kawasan desa mendapatkan informasi yang cepat dan berkesan.
Usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah mewujudkan banyak 'kampung wifi' di luar bandar di negeri Sabah dan Sarawak menandakan suatu pencapaian penting dalam usaha menggunakan sepenuhnya teknologi tanpa wayar atau "wireless-fidelity" (WiFi) untuk menambah baik keterkaitan atau 'connectivity' kepada perkhidmatan internet.
"Saya melihat bahawa kampung Sungai Atas di Kunak juga perlu diwujudkan 'kampung wifi' dimana penduduk khususnya belia dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan apabila program itu dilaksanakan di sini", katanya kepada wartawan ketika meninjau perkampungan Sg.Atas pada Ahad.
Dalam program turun padang itu, Salleh turut menyalurkan bantuan makanan tambahan kepada beberapa warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) serta penyampaian kerusi roda khusus kepada golongan OKU di kampung berkenaan. Terdahulu, beliau meninjau keadaan perparitan di kampung berkenaan dan juga surau yang memerlukan pembaikan.
Menurut Salleh, pihak pentadbiran di situ diseru agar mengenalpasti tapak sesuai untuk perlaksanaan "kampung wifi" menerusi program jalur lebar di Sabah.
"Kita sedia membantu penduduk untuk lebih celik maklumat sesuai dengan zaman teknologi sekarang ini dan Kunak tidak akan dipinggirkan dalam pelaksanaan dasar jalur lebar nasional (NBI)", katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memuji pihak penganjur seperti Kemas yang aktif mengadakan program sukaneka di peringkat kampung dalam usaha memupuk semangat kekeluargaan, muhibbah dan tolong-menolong yang menjadi budaya seterusnya diserapkan dalam diri anak-anak.
Katanya, penglibatan semua peringkat usia sama ada kanak-kanak dan orang dewasa dalam program sukaneka membuktikan wujud persefahaman yang baik dikalangan penduduk kampung. Dalam masa sama, mereka juga menitikberatkan aspek penjagaan kebersihan yang menjadi asas penting dalam kehidupan.
Di majlis sukaneka yang diadakan pada Ahad itu, ianya diisi dengan acara seperti meniup belon, bowling padang, pancing botol, tiup tepung, tarian kebudayaan, aktiviti memungut sampah dan pelbagai lagi.
Turut sama di majlis itu, Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang, Pengerusi JKKK Kg.Sungai Atas, Awang Haris, Ketua Kampung, Abdul Mutalib Umar dan Penyelia Perhubungan Kemas kawasan Kunak, Norazlin Awang.
0 ulasan:
Post a Comment