
Ahli Dewan Rakyat kawasan Silam, Hj Salleh Kalbi menyerahkan borang BR1M kepada Ketua Kampung Lormalong untuk diagihkan kepada penduduk dan mereka yang layak memohon.

Ahli Parlimen (MP) Silam, Hj Salleh Kalbi mengingatkan pemimpin di peringkat kampung terutama Pengerusi JKKK dan Ketua-ketua Kampung memberi kerjasama seadanya dalam membantu penduduk memperoleh borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi penyaluran bantuan kewangan RM500 kepada ketua isi rumah yang layak. Beliau berkata, borang bantuan itu juga boleh diperolehi di pejabat perhubungan Ahli Dewan Rakyat P.188 Silam di bangunan Sapang, dekat pekan Kunak di sini, selain pejabat-pejabat/ agensi kerajaan terpilih seperti Pejabat Daerah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan beberapa yang lain.
Memandangkan Kunak belum mempunyai pejabat cawangan LHDN, ahli Parlimen itu dengan inisiatif turun padang ke Kunak pada Sabtu mempermudah rakyat memperoleh borang BR1M dalam agihan yang dijalankan.
"Pastikan rakyat di kawasan anda tidak tercicir dalam mendapat bantuan BR1M", katanya di kampung Lormalong.
Beliau sebelum itu merasmikan 'Seminar Kepimpinan & Organisasi' anjuran Yayasan Sabah zon Pantai Timur Selatan yang diadakan di dewan mini kampung berkenaan.
Salleh juga mengingatkan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dengan 'mengenakan caj tertentu' untuk menyalurkan borang BR1M kepada mereka yang memerlukan.
"Borang BR1M ini merupakan borang percuma dan jika ada sesiapa yang mengenakan bayaran tertentu terhadap penyaluran borang tersebut, sila lapor kepada saya atau kepada pihak Polis dan pejabat daerah", tegasnya menambah, beliau mendapat maklum (khabar angin) bahawa ada pihak tertentu di sesuatu kawasan yang mengenakan "bayaran sehingga RM15" bagi setiap borang BR1M , dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
"Kita memandang serius perkara seperti itu", ujarnya.
Salleh berkata, pihak LHDN juga ada membuka "kaunter semasa" berhampiran padang pekan Kunak pada Sabtu untuk pengagihan borang BR1M kepada mereka yang memerlukan, dan orang ramai khususnya di daerah Kunak dapat mengambil peluang itu.
Dalam perkembangan lain, Salleh menyeru masyarakat kampung agar bekerjasama dengan kepimpinan di kawasan mereka menerusi program-program yang diadakan oleh organisasi yang sedia ada. Menyentuh program Seminar Kepimpinan dan Keorganisasian yang diadakan pada hari itu anjuran kumpulan Yayasan Sabah, beliau berharap para peserta yang terlibat dapat menimba ilmu dan menggarap pengalaman, seterusnya mengadaptasikan kemahiran dan pengetahuan yang mereka peroleh menerusi program tersebut untuk diterjemahkan.
Beliau juga menyebut tentang pentingnya serapan nilai-nilai murni, sahsiah dan moral yang positif dalam usaha melahirkan insaniah yang cemerlang sebagai peneraju kepimpinan masa kini dan akan datang.
Turut sama di majlis itu, Pegawai Rela daerah Kunak - Lt.kol Rosmi Saad, Penolong pegawai pelajaran daerah, Ketua Kampung Lormalong, Pengerusi JKKK dan penduduk sekitar.
0 ulasan:
Post a Comment