Industri burung walit dilihat mempunyai potensi yang baik untuk diusahakan di Kunak kerana wujud faktor yang dapat menjamin kelangsungan industri tersebut untuk dikembangkan.
Perunding Borneo Walit & Consultation, Lahari Lasari berkata, keadaan iklim di rantau ini sesuai untuk pembiakan walit.
Lahari yang juga Penasihat Koperasi Wawasan Lasari, berkata hakikat ini harus dimanfaatkan oleh mereka yang berminat untuk mengusahakan industri berimpak tinggi itu yang menjanjikan pulangan lumayan.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas Program "Sembang Walit" anjuran bersama Borneo Walit Consultation dan Koperasi Wawasan Lasari di Rumah Rehat Kerajaan dekat sini, Isnin lalu. Turut sama di majlis itu ialah Pengerusi Usbo Kunak, Abdul Rahim Wahab.
Program penerangan sehari berkaitan industri burung walit itu dihadiri lebih 80 peserta dengan fokus pendedahan program untuk memberi panduan dan penerangan potensi industri burung walit di Sabah.
Program itu juga adalah dokongan kerajaan melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN) dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Menurutnya, untuk menggalakkan penglibatan pelbagai golongan masyarakat dalam industri sarang burung walit, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah merangka pelan induk pembangunan sarang burung walit sehingga tahun 2020 yang menggariskan tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan oleh pelbagai agensi dan pihak swasta yang terlibat dalam menjayakan pembangunan industri burung walit di negara ini.
"Objektif serta strategi pelan induk ini adalah bertujuan untuk mencapai Bidang Keberhasilan Utama (KRA) dalam meningkatkan pengeluaran sarang burung walit", katanya.
"Khasiat sarang burung walit yang tinggi menjadikan nilai pasarannya tinggi dan 70 peratus lagi permintaan dunia yang masih belum dipenuhi", katanya.
Lahari berkata, umumnya daerah Kunak di Sabah telah dikenali dengan wujudnya Gua Madai dan produk berasaskan sarang burung walit secara semulajadi.
"Untuk itu, dengan minat dan keupayaan serta kemahiran, projek burung walit menjanjikan pulangan yang lumayan", tambahnya.
Katanya, tanah pertanian terbiar di kampung-kampung yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk untuk memperoleh pendapatan berterusan.
"Ia juga dapat menjana pendapatan mereka dan pada masa yang sama melonjakkan ekonomi negeri apabila projek sarang burung digerakkan sebagai suatu industri baru yang diperhebat", ujarnya.
Beliau berkata, industri ini boleh digerakkan melalui koperasi-koperasi kampung dengan pemilikan saham penduduk supaya boleh diuruskan secara terancang.
Di samping itu, katanya ia juga boleh dijadikan satu lagi produk tarikan pelancong bagi negeri ini dengan mewujudkan pusat sarang burung dengan penyediaan produk-produk cenderahati, muzium dan rumah burung'.
Untuk menjayakan industri itu, mereka yang ingin menceburinya perlulah memikirkan lokasi yang sesuai bagi mengelak pelbagai kemungkinan berlaku seperti diserang penyakit, rungutan, gangguan bunyi dan sebagainya, disamping mematuhi peraturan-peraturan sedia ada.
0 ulasan:
Post a Comment