
Seni anyaman tikar mengkuang mampu bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa sekiranya pengusaha memiliki kreativiti dan inovasi yang tinggi untuk menghasilkan produk yang menepati citarasa pelanggan.
Dalam usaha untuk menggalakkan pengusaha menceburi seterusnya mengembangkan produk tersebut, Pembantu Penolong Pegawai Daerah (AADO), Mohd Hatta Arabi berkata, pihaknya akan memastikan pengusaha tikar mengkuang yang memiliki kreativiti tidak dipinggirkan selain membantu mereka untuk meningkatkan kualiti produk berkenaan sesuai dengan aspirasi menyokong program SDSI (Satu Daerah Satu Industri).
Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Program Pembangunan Kraftangan Kursus Anyaman Mengkuang anjuran Yayasan Sabah zon pantai timur selatan yang diadakan bermula 17 hingga 23 Disember lalu, di sini.
Mohd Hatta berkata, para peserta program tersebut perlu memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang mereka peroleh dengan berusaha memotivasi dan mendaya kreativitikan bakat mereka untuk menghasilkan tikar mengkuang yang boleh menembusi pasaran di tempatan dan juga luar daerah seterusnya di peringkat global.
"Kemahiran dan ilmu yang diperolehi dapat direalisasi dan kemahiran itu jika perlu dapat diterapkan kepada generasi muda supaya kesinambungan penghasilannya dapat dipertahan", katanya. Turut hadir di majlis itu, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Maimunah Datuk Zainal.
Menurut beliau, kerajaan negeri memutuskan untuk membina Pusat Kraftangan Sabah di Keningau dibawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang mana ia bakal menjadi pusat pemprosesan dan pengumpulan kraf.
1 ulasan:
Tikar mengkuang Sabah ni memang unik, dengan suku-suku berlainan mpunyai paten anyaman dan warna unik/berbeza dan menarik
Post a Comment