Sepuluh orang murid di daerah Kunak memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan baru-baru ini.
Pegawai Pelajaran Daerah Kunak, Zamri Pehakan berkata kesemua pelajar tersebut masing-masing tiga murid dari SK Ladang Binuang, dua orang dari SK Skim Cocos, dan masing-masing seorang dari SK Mostyn, SK Kg Selamat, SK Pangi, SK Madai dan SK Kunak 1.
Murid-murid yang mendapat 5A ialah Muhd Yusri Samir, Nurul Syazwanie Fatiroi, Najihah Jumlidin, Aimi Afiqah Amalina, Nur Mimi Syaheeda Mohmat Faizal, Sukri Basri, Khuzaifah Mohd Kassim, Nur Muhd Azimi Jasni, Nurul Farhana Nasir dan M.Harith Asyraf Busu @ Dzulhisham.
Katanya menambah, seorang murid dari SJK(C) Pai Sheng memperoleh 7A dalam peperiksaan itu iaitu, Chok Yan Ting. Zamri berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya pada Jumaat lepas.
Secara keseluruhan, peratus lulus UPSR bagi daerah Kunak pada tahun ini meningkat iaitu 38.40 peratus berbanding 34.04 peratus pada tahun lalu. "Ia menunjukkan peningkatan 4.36 peratus dengan perolehan Gred Purata (GPD) yang dicapai iaitu 2.91", katanya.
Pada tahun 2009, pencapaian daerah itu hanya 32.2 peratus dan 30.4 peratus pada tahun 2008.
Seramai 776 orang calon dari 15 buah sekolah di daerah itu menduduki ujian tersebut pada tahun ini dengan 298 orang calon lulus dalam peperiksaan. Pencapaian UPSR yang meningkat setiap tahun itu juga bersandarkan pada beberapa program yang dijalankan sebelum ini.
Zamri berkata, 'Kelas Intensif dibawah Program Pintar Saga' peringkat daerah yang diadakan pada Februari hingga September merupakan antara program yang telah dijayakan dengan melibatkan 50 murid daripada 15 buah sekolah di daerah untuk menjalani program sedemikian.
"Program ini diadakan pada setiap Sabtu di Pejabat Pelajaran daerah melibatkan guru-guru pengiring dan pelajar. Selain itu, ibubapa pelajar yang terpilih juga dilibatkan pada masa-masa tertentu dimana kita memberi ceramah motivasi dan kesedaran berkaitan akademik pelajar", jelasnya.
Menurut Zamri, peranan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sangat mustahak dalam memastikan pencapaian murid dalam UPSR boleh ditingkatkan melalui perpaduan dan tanggungjawab bersama dikalangan warga pendidik dan ibubapa pelajar.
"Kita berharap pencapaian UPSR di daerah Kunak akan terus ditingkatkan dari masa ke semasa", ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama katanya, terdapat sekolah yang terletak di kawasan pedalaman seperti SK Tanjung Keramat di daerah itu masih memerlukan prasarana dan kemudahan yang sempurna seperti bekalan elektrik dan jalanraya yang baik.
Ketika ini bekalan elektrik tidak lagi diperolehi di SK Tanjung Keramat yang terletak kira-kira 18 kilometer dari sini dan melalui beberapa kawasan ladang/estet milik syarikat dan persendirian.
"Kekangan ini antara lain mungkin menjadi faktor mengapa pencapaian akademik pelajar seperti UPSR di situ merosot", katanya.
Dua belas orang murid SK Tanjung Keramat menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini dimana kesemua mereka gagal dalam ujian penilaian tersebut.
Buat masa ini, guru-guru di sekolah itu dibekalkan dengan bantuan penjana untuk mendapatkan bekalan elektrik di sekolah ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Dan kebanyakan guru-guru yang berkhidmat di sana terpaksa tinggal di luar kawasan itu kerana faktor kemudahan asas yang masih tidak mencukupi, katanya kepada Harian Ekspress.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap kepada warga pendidik yang berkhidmat di kawasan pedalaman di daerah ini supaya tekad dan bersabar dalam menghadapi dugaan dan cabaran yang mereka hadapi.
0 ulasan:
Post a Comment