
Acapkali apabila berada di kedai kopi atau restoran, mereka yang berbual asyik bercerita pasal siapa calon BN dan siapa calon Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Jarang sekali yang bercakap mengenai siapa calon Bebas yang akan bertanding di DUN Kunak dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.
Ramai juga yang bercerita, memperkatakan mengenai si polan bin si polan layak sebagai calon BN. Jarang pula yang berbual tentang ura-ura siapa yang akan muncul bertanding sebagai calon Bebas. Mungkin kerana yang berbual itu yakin bahawa Barisan Nasional (BN) akan berjaya mempertahan kubu kuatnya di kerusi DUN Kunak. Tidak dinafikan, Kunak terus berada dibawah tadbir BN sejak tahun 1994, walaupun jumlah undi dalam empat pilihanraya lepas menunjukkan turun-naik sokongan BN .
Untuk rekod, dalam 5 pilihanraya yang telah diadakan sebelum ini (tahun 1990, 1994, 1999, 2004 dan tahun 2008), calon Bebas hanya bertanding dalam PRU ke 8, ke-9 dan PRU ke-11 iaitu masing-masing dalam tahun 1990, 1994 dan 2004.
Semasa Pilihanraya Umum 1990, calon Bebas memperoleh 196 undi dalam perlawanan lima penjuru bersama parti Usno, Parti Bersatu Sabah (PBS), Berjaya dan PRS. Parti Usno telah memenangi pilihanraya di DUN Kunak pada PRU tahun 1985 dan 1990.
Dalam PRU ke-9 tahun 1994, calon Bebas juga dilihat memperoleh sokongan dengan mendapat 2,050 undi yang mana ketika itu calonnya (Nilwan Kabang) . Tiga lagi yang bertanding ialah BN yang meletakkan Unding Lana sebagai calon memperoleh 5,241 undi. PBS mendapat 2,062 sementara calon parti Bersekutu, Sarif Wahirun hanya memperoleh 197 undi.
Pada Pilihanraya Umum tahun 1999, tidak ada calon Bebas yang bertanding dan ketika itu pemerhati politik membuat kesimpulan bahawa ketiadaan calon Bebas di DUN Kunak semasa PRU ke-10 itu mungkin disebabkan calon Bebas yang bertanding sebelum itu dalam pilihanraya ke 8 dan ke-9 gagal merampas kerusi Kunak. Hanya Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS yang ketika itu masih dalam posisi pembangkang), calon parti Bersekutu dan calon parti SETIA berentap dalam pertandingan empat penjuru pada tahun 1999.
Sementara itu, calon Bebas muncul kembali pada Pilihanraya Umum ke-11 pada 2004 yang mana Arif bin Datuk Pg.Salim mencuba nasib untuk mengambil bahagian dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, Datuk Jasa Rauddah, parti SETIA, Sahing Taking dan Keadilan, Citra Masadi. Calon Bebas ketika itu memperoleh 1,421 undi menewaskan calon SETIA yang mendapat 821 undi, dan KEADILAN 212 undi - tetapi BEBAS masih gagal mengalahkan BN yang memperoleh 3,344 undi untuk merampas kerusi DUN Kunak.
Senario dalam Pilihanraya Umum ke-12 tahun 2008 juga dilihat agak berbeza berbanding PRU-PRU sebelum itu kerana hanya dua calon bertanding masing-masing dari Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Semasa PRU ke-12 Mac 2008 yang lalu, bekas calon Bebas yang bertanding dalam PRU tahun 1994, Nilwan Kabang yang juga bekas ahli Usno dan telah menjadi ahli Umno dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) menentang calon PKR, Hj.Bedu Kudusa dalam perlawanan dua penjuru.
Pemerhati politik juga berpendapat situasi keterlibatan atau keinginan individu tertentu untuk bertanding sebagai Calon Bebas di DUN Kunak berdasarkan situasi "Tunggu dan Lihat" siapa bakal calon BN yang akan dipilih dalam PRU 13 di DUN Kunak akan datang.
Sekiranya calon BN yang dipilih kelak benar-benar disenangi rakyat dan mendapat aspirasi sokongan di peringkat akar umbi termasuk masyarakat amnya, tentunya pucuk pimpinan BN akan memilih individu itu sebagai calon Barisan Nasional .
Dalam Konvensyen BN yang diadakan di Kuala Lumpur Ahad lalu, Pengerusi BN, Datuk seri Najib Tun Razak telah menegaskan bahawa "Empat Gejala Penyakit" harus dielak, dikikis dan dibuang jauh sebelum rasa sayang rakyat terhadap BN merudum.
4 gejala 'penyakit' itu seperti Khayal, Lupa diri, Kejumudan dan Keangkuhan adalah "racun" yang boleh merosakkan sokongan rakyat terhadap BN dalam pilihanraya akan datang jika tidak dibendung atau dielak.
Pemerhatian juga mendapati, 'kesilapan' memilih calon BN di DUN Kunak pada PRU 13 memungkinkan kemunculan calon Bebas untuk bertanding semula pada pilihanraya akan datang.
Siapa individu yang akan bertanding sebagai Calon Bebas hanya akan terjawab apabila hari penamaan calon berlangsung kerana teropong ajaib' melihat situasi politik semasa berdasar pada 'Opsyen' tertentu.
Kesimpulan ringkas yang dapat dirumuskan ialah, setiap kali Pilihanraya Umum bagi kawasan DUN Kunak diadakan dengan keterlibatan calon Bebas dan parti pembangkang seperti Keadilan atau lainnya sebelum ini, calon Bebas dilihat memperoleh undi yang banyak berbanding calon pembangkang.
Ini memberi ruang terbuka kepada calon Bebas untuk berentap dalam PRU 13 meskipun parti pembangkang lain turut meletakkan calonnya di kerusi tersebut.
Rumusan berdasarkan perolehan undi dalam PRU-PRU yang lepas juga menunjukkan bahawa 'Calon Bebas' lebih kuat dan mendapat sokongan pengundi Kunak berbanding calon pembangkang seperti PKR. Adakah selepas ini, PKR akan meletakkan calonnya di DUN Kunak atau 'melepaskan' kerusi itu untuk ditandingi oleh calon Bebas dan BN sahaja? Ia bergantung kepada senario yang berlaku dari masa kesemasa kerana ada sebilangan ahli parti sama ada BN atau pembangkang silih berganti 'parti' atau dalam erti kata lain melompat ke kem lain seandainya "cita-cita politik mereka" Tidak Tercapai!
. analisis Blogger Kunak Press