Balnama melihat bongkah batuan itu ketika membawa wartawan meninjau ke lokasi berhampiran Jalan Pangi, Kunak.
Bongkah batuan tersebut terletak di pinggir Jalan Pangi Hujung - berhampiran projek naiktaraf jalanraya di situ.
Batuan itu dipercayai disusun rapi dan melekat membentuk bongkah yang besar seolah-olah seperti sebuah benteng kubu pertahanan.
Batuan serpih yang terdapat berhampiran bongkah tersebut sama seperti batuan yang biasa ditemui di kawasan Mostyn.
KUNAK : Penemuan bongkah batuan yang mempunyai saiz ukur lilit antara 8-10 meter ditemui berhampiran projek naiktaraf Jalan Pangi di Kunak baru-baru ini, membuka satu lagi lembaran sejarah yang selama ini masih terperap dan dipercayai belum terdapat kajian terperinci berhubung penemuan bongkah batuan itu.
Seorang penduduk Kampung Pangi, Balnama Kauluh yang juga Ketua Penyelaras Umno Kunak membawa pemberita Daily Express ke lokasi tersebut yang terletak kira-kira sepuluh kilometer dari pekan Kunak, pada Jumaat.
Menurut Balnama, beliau dimaklumkan oleh pekerja syarikat kontraktor mengenai penemuan batuan itu ketika kerja-kerja pembinaan naiktaraf Jalan Pangi dilakukan. Lokasi bongkah batuan tersebut terdampar di pinggir Jalan Pangi Hujung di kawasan berhampiran projek itu dijalankan.
"Batuan (bongkah) itu tersusun rapi dan terbentuk seolah-olah seperti kubu pertahanan", kata Balnama sambil menambah, kajian lanjut perlu dijalankan bagi memastikan sama ada ia telah wujud sejak tahun 1945 , sebelum atau selepasnya.
Ahli-ahli kaji sejarah atau arkeologi boleh menjalankan tesis ke atas batuan itu bagi mengenalpasti usia sebenarnya dan mencari maklumat berkaitan dengan penemuan itu kerana ia dipercayai mempunyai nilai sejarah di sini, terutama Kampung Pangi dan daerah Kunak amnya, kata Balnama.
Terdapat tiga besi yang melekat pada permukaan atas batuan tersebut dan ini meyakinkan bahawa ia adalah binaan manusia dan bukannya pembentukan semulajadi.
Tinjauan mendapati besi itu sudah berkarat kerana melalui proses luluhawa dan terdedah dengan pancaran matahari dan hujan.
Terdapat juga batuan-batuan serpih yang bertaburan di sekeliling bongkah tersebut. Dipercayai batuan yang terdapat di situ sama seperti batuan yang biasa ditemui di kawasan Mostyn dan batuan yang pernah dilihat berhampiran Terowong Jepun dalam kawasan Mostyn estet.
Untuk rekod, Mostyn di Kunak merupakan antara bekas lokasi pendaratan tentera Jepun semasa era perang dunia kedua sekitar tahun 1942-45.
Dalam perkembangan sama, beliau bersetuju dan sependapat dengan saranan Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang yang sebelum ini menyatakan bahawa daerah Kunak mempunyai banyak tinggalan sejarah yang masih tersimpan dan ada diantaranya berpotensi dijadikan sebagai produk pelancongan.
Sementara itu, ada pihak juga menyarankan agar penemuan-penemuan tinggalan sejarah yang masih ada di sini dapat dipelihara dan dijaga oleh agensi yang berkaitan daripada sebarang aktiviti lakumusnah (vandalisme) atau kerosakan akibat proses pembangunan.
2 ulasan:
Wau...di kampung biniku ni,
tak perasan plak aku...
Dulu dlm tahun 80-an, aku dan bapak selalu ikut jalan ni dgn berjalan kaki dari sapang ke Pangkalan, kalau jalan 7.oo pg sampai di Pangkalan lebih kurang 2 ptg atau 3 ptg, jauh tu dulu mana ada lagi piret kancil cam skarang dulu adalah van tapi jarang...
akan aku jejaki tempat ni semula...mungkin kawasan ni pernah jdi tempat rehat kami....hehehe sory sekadar mengimbau kenangan lama...salam.
Tinggalan-tinggalan sejarah yang masih ada sewajarnya dipelihara dan dipulihara dengan baik. Agensi atau jabatan yang berkaitan harus mengambil peranan penting dalam perkara ini.
kerana... tanpa usaha kita untuk memulih dan memeliharanya, siapa lagi..?
Ia juga sebagai panduan dan rujukan maklumat untuk generasi sekarang dan generasi akan datang. Seelok-eloknya, bukan hanya melalui pembacaan buku dan dokumentasi yang pernah tertulis, tetapi generasi kita boleh melihat sendiri bukti tinggalan-tinggalan sejarah di kawasan mereka.
Banyak perkara yang boleh diperoleh, dipelajari dan diambil ikhtibar melalui pengamatan dan kajian sejarah Silam khasnya di daerah Kunak ini.
Post a Comment