Thursday, December 31, 2009

Pegawai Ko-Nelayan Kunak nafi laporan dalam blog

KUNAK : Penolong Penguasa Pejabat Ko-Nelayan Kawasan Kunak, Hivilin Binijin @ Haslinda, 49, menafikan laporan yang tersiar dalam laman blog Sabahkini.net pada 26 Disember lepas yang menyatakan beliau hanyalah sebagai Operator Komputer (F17).

Katanya, beberapa kenyataan oleh pemimpin sebuah parti politik yang disiarkan dalam laman blog itu juga bersifat memfitnah dan melibatkan perkara-perkara yang menyentuh peribadi keluarga.
Hivilin berkata, penulis berita tersebut sepatutnya merujuk perkara yang dilaporkan itu kepada beliau terlebih dahulu atau Pejabat Besar Ko-Nelayan di Kota Kinabalu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelak percanggahan dan pemesongan fakta.

Hivilin menjelaskan, beliau mempunyai beberapa bukti dan dokumen penting untuk mempertahankan kredibilitinya sebagai penjawat awam yang dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugas sebagai Penolong Penguasa di Kunak. Menurutnya, surat Pertukaran Tempat Bertugas telah dikeluarkan oleh Pengurus Besar bertarikh 1 Ogos 2007, yang mana menyatakan beliau diarah berpindah dari Unit Petroleum ke Bahagian Pembangunan untuk menjalankan tugas sebagai Penolong Penguasa Pejabat Ko-Nelayan daerah Kunak berkuatkuasa pada 16 Julai 2007.

Hivilin memberitahu demikian kepada pemberita Daily Express ketika ditemui di pejabatnya pada Selasa (29 Dec.)

Katanya, antara tugas yang diamanahkan oleh beliau di sini ialah membantu menyelaras dan melaksana Pentadbiran Pejabat Ko-Nelayan dan mempastikan objektif-objektif semua Program Pembangunan yang dijalankan dapat dicapai.

Tugas lain ialah "mengetuai pentadbiran pejabat Ko-Nelayan daerah Kunak termasuk membantu mempastikan semua dasar-dasar program, jadual tugas kakitangan, Manual Prosedur Kerja (MPK), Fail Meja (FM), Sasaran Kerja Tahunan (SKT) dan perkara-perkara berkaitan dengan urusan di pejabat dapat disediakan dan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Hivilin berkata, tugas lain yang beliau jalankan termasuk mengemukakan cadangan Projek Pembangunan yang berpotensi dan sesuai untuk dimajukan di daerah (merealisasikan impian Satu Daerah Satu Industri), merancang perbelanjaan dan menyediakan anggaran belanjawan Pejabat Ko-Nelayan Daerah Kunak dan mempastikan urusan-urusan perbelanjaan (petty cash), pungutan pinjaman dan penyimpanan wang mematuhi arahan kewangan yang telah ditetapkan.

Selain itu, tugas menyediakan laporan bulanan dan tahunan kepada Ketua Bahagian serta tugas-tugas lain yang diarahkan oleh pegawai atasan dari masa ke semasa", katanya.

Hivilin menjelaskan, Ko-Nelayan Kunak masih berada dibawah seliaan Pegawai Penguasa Bahagian Tawau. Tetapi memandangkan keperluan untuk daerah Kunak mempunyai pejabat Ko-Nelayan di sini, maka beliau dilantik sebagai Penolong Penguasa Pejabat Ko-Nelayan Kunak bagi 'menanggung tugas' yang telah diamanahkan oleh Pejabat Ko-Nelayan negeri Sabah.

Beliau juga menafikan laporan laman blog itu yang menyatakan beliau tidak pernah mengikuti sebarang kursus induksi yang dianjurkan oleh kerajaan.

Hivilin berkata, beliau telah menyertai Kursus Modul Induksi Umum Kumpulan II Siri 2/2003 yang dianjurkan oleh Institut Latihan Sektor Awam Negeri dibawah Jabatan Ketua Menteri Sabah pada 31 Januari 2003 di Kota Kinabalu.

"Semua dokumen itu ada tersimpan", katanya.

Comply with M'sian laws, Indons told


Picture - Indonesian Republic Consul in Tawau, Widoranto Rahendra Djaya speaking to reporters.

KUNAK : Indonesians working in the State are urged to comply with Malaysian laws to safe-guard the good relationship between both countries.

"The opportunity and the facilities provided should not be misused", its Consul in Tawau, Widoranto Rahendra Djaya, said at the Kunak Timor Ethnic Welfare Association (SUKAT) ceremony in Sri Kunak Community Hall, recently.

SUKAT was approved by the Register of Societies (ROS) on Nov.11 ."The approval given to SUKAT is important and this can help enhance the relationship", said Widoranto Rahendra. The association would look into the welfare of the Timorese in Sabah.

In the ceremony, SUKAT (Persatuan Kebajikan Suku Kaum Timor) donated RM1,000 to victims of natural disasters in Indonesia through Tabung Bencana Alam - RTM.

Meanwhile SUKAT Chairman, Laurensius Egol Wara, said it has more than 1,000 members, including 300 Malaysians.

Also present were Kunak People Development Leader (PKR), Halid Harun - representing Kunak Assemblyman, Datuk Nilwan Kabang, and District Rela Officer, Lt.Kol. Rosmi Saad.

Pekebun kecil persoal 'cukai RM50' bagi setiap tan sawit dijual


KUNAK : Kebanyakan pekebun-pekebun kecil kelapa sawit di sini mempersoalkan tindakan oleh pengusaha kilang kelapa sawit dan pengendali Pusat Timbangan berdaftar di sini yang mengenakan potongan sebanyak RM50 bagi setiap tan buah kelapa sawit yang dijual kepada pihak tersebut sejak beberapa bulan lalu.

Tampil mewakili pekebun kecil yang 'tertindas' itu, Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kunak, Djapri Kudosat berkata, tindakan mengenakan bayaran atau boleh diistilahkan sebagai 'cukai' sebanyak RM50 bagi setiap tan buah kelapa sawit yang dijual adalah suatu perkara yang menjejaskan pendapatan pekebun kecil lebih-lebih lagi ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Bayangkan sahaja, setiap satu tan buah yang dijual, mereka (kilang dan pusat timbang) mengenakan potongan sebanyak RM50 menyebabkan kami (pekebun kecil) seolah-olah diperlekeh dan pihak kilang atau pengendali pusat timbang mengaut untung lebih", katanya.

Menurut Djapri, ramai pekebun kecil meluahkan rasa kecewa dengan keadaan seperti ini lebih-lebih lagi musim persekolahan akan tiba minggu hadapan dan keperluan untuk anak-anak juga bertambah.

Katanya, Gagasan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan' yang sering dilaung-laungkan tidak menunjukkan senario yang sebenar apabila berlaku keadaan yang menjejaskan kepentingan rakyat.

"Saya menyeru pihak-pihak yang berkenaan membuka mata dan menilai semula keberkesanan pengenakan 'syarat' seperti itu yang dilakukan oleh pihak kilang dan pusat timbang yang menjejaskan keadaan rakyat khususnya pekebun kecil yang hanya mengharapkan pendapatan kecil daripada hasil keringat mereka", ujarnya.

Memberi bukti perkara itu wujud, Djapri berkata, pada 15 Disember lepas, seorang pekebun kecil yang menjual buah sawit sebanyak 5.2307 tan hanya memperoleh pendapatan RM2,076.31 kerana pihak pengendali Pusat Timbang mengenakan harga hanya RM397 bagi setiap tan - sedangkan harga pasaran ketika itu menjangkau RM450 satu tan, katanya.

Tuesday, December 29, 2009

Salleh cadang BN guna logo baru

KOTA KINABALU : Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangkan agar Barisan Nasional (BN) merintis usaha penjenamaan semula termasuk memperkenalkan logo baru yang lebih menarik serta mempunyai ciri-ciri dan pengertian gagasan 1Malaysia.

Dalam proses penjenamaan semula itu untuk mendekatkannya dengan hati rakyat, Barisan Nasional hanya perlu 'dipasarkan' dengan singkatan BN saja, katanya dalam laman web beliau www.keruak.com

Salleh, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, berkata penjenamaan BN itu amat penting kerana dalam suasana politik sekarang, rakyat sudah mempunyai pilihan, iaitu satu komponen Barisan Nasional dan satu lagi Pakatan Rakyat.

Untuk memastikan BN terus unggul dan relevan, beliau juga mencadangkan agar ia mewujudkan sistem keahlian secara terus.

"Menerusi kaedah baru ini, mereka yang komited atau minat dengan BN dan dasar serta pemimpinnya, tetapi tidak menyukai parti-perti komponen tertentu kerana terlalu banyak politiking, akan dapat terus bersama kita", kata Salleh.

Namun katanya, cadangan itu memerlukan perincian lanjut dengan mengambil kira sistem dan perlembagaan dalam BN.
- Bernama

Monday, December 28, 2009

Penduduk rayu bantuan rumah PPRT


KUNAK : Seorang penduduk tempatan di sini menyuarakan keluhannya kerana masih tidak mendapat kemudahan rumah dibawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) walaupun telah tiga kali memohon kemudahan itu. Harun B. Utuh Diki, 44, berkata, beliau telah merayu dengan Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang sebelum ini agar permohonan beliau dapat diluluskan - dan menurut wakil rakyat itu, beliau (Harun) dinasihat supaya bersabar.

Katanya, beliau memohon kemudahan itu pada mulanya sekitar tahun 1990-an ketika itu beliau masih tinggal di Kg.Pangkalan Kunak. Permohonan kali pertama itu dikemukakan kepada Pengerusi JKKK kampung berkenaan ketika itu.

Beberapa tahun selepas itu, Harun mengemukakan permohonan kedua tetapi masih juga gagal dan tidak mendapat sebarang respon positif daripada pihak berkenaan.
Harun berkata, rumahnya ketika itu di Kampung Pangkalan yang dikategorikan sebagai kawasan setinggan di daerah Kunak telah dirobohkan oleh pasukan penguatkuasa semasa Ops Bersepadu.

Dengan kesabaran dan harapan baru untuk meneruskan penghidupan bersama isteri dan anak-anaknya, beliau kemudian berpindah dan mendirikan rumah daripada kayu-kayu 'buangan' di Kampung Bagiang dekat sini sekitar tahun 2004.

Pada tahun 2008, Harun telah memohon bantuan rumah PPRT dan menyerahkan borang tersebut ke Pejabat Daerah di sini melalui Pembantu Penolong Pegawai Daerah Kunak (AADO).
Menurutnya, borang yang telah siap diisi itu telah disokong oleh Adun Kunak, beliau memberitahu pemberita di sini.

Dengan hanya bekerja sendiri dan berpendapatan tidak menentu, Harun merasakan keperitan hidup dan menyara empat orang anak-anaknya masing-masing berusia satu, lima, tujuh dan sepuluh tahun.

"Isteri saya hanya sebagai suri rumah sepenuh masa", katanya yang memberitahu dua orang anaknya masih bersekolah. Harun berkata, gagasan dan konsep 1 Malaysia 'Rakyat Didahulukan' sewajarnya diterjemahkan menerusi kerjasama semua pemimpin di peringkat akar umbi dan wakil rakyat khususnya di daerah ini.

"Keadaan yang merumitkan ini seharusnya mendapat pertimbangan wajar daripada kerajaan kerana saya juga adalah rakyat Malaysia dan pengundi di sini", katanya lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku karenah birokrasi menyebabkan permohonannya mendapatkan rumah PPRT masih belum berhasil sedangkan ada dikalangan pemohon lain yang telah mendapat bantuan PPRT 'walaupun mungkin' tidak berkelayakan.

"Saya difahamkan, ada pemohon yang memiliki kebun/tanah pertanian dan berpendapatan tetap memperolehi rumah PPRT, sedangkan kalangan yang betul-betul memerlukan terus terpinggir", ujarnya.

Beliau juga tidak mampu melakukan kerja-kerja berat ketika ini kerana tangan kirinya pernah tercedera semasa menjalankan kerja membina rumah di Semporna beberapa bulan yang lalu.
"Bertugas sebagai tukang kayu adalah kerja-kerja sambilan yang saya lakukan untuk mendapatkan wang bagi menyara keluarga", kata beliau.

Gambar : Harun memegang MyKadnya sebagai tanda menyokong gagasan 1 Malaysia sambil mengharapkan konsep 'Rakyat Didahulukan' menjadi kenyataan.

Warga Indonesia diseru patuhi undang-undang, semai harmoni : Konsulat

KUNAK : Warga Indonesia yang berada di negara ini diseru agar mematuhi undang-undang dalam apa juga bentuk tindakan yang mereka lakukan demi menjaga hubungan baik di antara dua negara. Bapa Konsulat Republik Indonesia Bahagian Tawau, Widoranto Rahendra Djaya berkata, warga Indonesia yang berada di desa/kampung dan mereka yang bekerja di pelbagai perusahaan di negeri ini seharusnya hormat dan mematuhi peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Malaysia bagi memperkukuh lagi hubungan dua hala.
Peluang dan kemudahan yang disedia seharusnya digunakan dengan baik dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Persatuan Kebajikan Suku Kaum Timor Kunak Sabah atau ringkasnya SUKAT yang diadakan di Dewan Sri Kunak , dekat sini pada Ahad (27 Dec).

Menurut Rahendra, penubuhan persatuan itu antara lain ialah untuk menjaga kebajikan dan memelihara kebudayaan serta adat-istiadat suku kaum Timor dan juga menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan untuk ahli-ahlinya menerusi program kemasyarakatan selain menyemai semangat harmoni.

Katanya, persatuan (SUKAT) yang telah diluluskan pendaftarannya pada 11 November lalu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan didaftarkan menerusi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Sabah - adalah organisasi yang bukan bersifat komersil tetapi SUKAT lebih kepada menjaga kebajikan dan sosial ahli-ahlinya.

Beliau turut menekankan aspek kebersihan sebagai elemen penting yang seharusnya diutamakan sama ada di rumah kediaman dan juga di tempat kerja.
"Kebersihan sangat penting dan apabila tidak dipraktik ia mengundang penyakit. Mulai hal-hal yang kecil, kita perlu mendisiplinkan diri kita", ujarnya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Rahendra berkata, kelulusan yang telah diberikan oleh KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan ROS (Pendaftar Pertubuhan) baru-baru ini bagi penubuhan SUKAT merupakan suatu mekanisme penting dan membantu memperkukuh hubungan akrab yang telah pun sedia terjalin antara Kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia.

Turut hadir di majlis itu, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Kunak, Halid Harun dan Pegawai Rela daerah, Lt.Kol Rosmi Saad.

Menurut Rahendra, pemimpin Malaysia dan Indonesia sebelum ini pun telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dalam membantu meredakan hubungan dua hala yang bergolak disebabkan pelbagai isu merangkumi pertikaian budaya sehinggalah kepada pekerja Indonesia di Malaysia.

Di majlis yang sama, Persatuan Suku Kaum Timor (SUKAT) telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM 1,000 (Satu Ribu ringgit) untuk bantuan kepada mangsa bencana alam di Indonesia yang disalurkan menerusi Tabung Bencana Alam - RTM.

Sementara itu, Pengerusi SUKAT , Laurensius Egol Wara berkata, setakat ini SUKAT telah mempunyai lebih satu ribu orang ahli. Tiga ratus daripadanya merupakan warganegara Malaysia dan selebihnya rakyat Indonesia.

Saturday, December 26, 2009

Peniaga, pengendali makanan digesa utama kebersihan

KUNAK : Semua pengusaha/ peniaga termasuk pekerja yang mengendalikan makanan di premis mereka digesa supaya sentiasa mengutamakan kebersihan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Daerah yang juga kaunselor Majlis Daerah Kunak (MDKNK), Abdul Rahim Wahab berkata, mereka yang terbabit juga perlu memahami, mengetahui dan patuh kepada Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 seperti yang termaktub dibawah Akta Makanan 1983 yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, banyak perkara yang perlu diketahui dan dipraktik dalam proses penyediaan makanan di premis perniagaan berdasarkan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan yang telah disusun dibawah akta itu termasuk ; Pendaftaran premis makanan, Penjalanan dan penyelenggaraan premis makanan, Pengendali makanan, Kehendak khas dalam pengendalian, penyediaan, pembungkusan, penyajian, penyimpanan dan penjualan makanan khusus, Pengangkutan makanan dan pelbagai.

Beliau memberitahu pemberita selepas mempengerusikan 'Program Seminar Kesihatan' bersama pengendali/peniaga makanan yang diadakan di Rumah Rehat Kerajaan dekat sini pada Selasa lepas (22 December).

Seminar itu anjuran Pejabat Kesihatan Daerah dan Majlis Daerah Kunak (MDKNK). Antara peserta yang mengikuti program itu termasuk peniaga restoran, warung dan pengusaha kantin sekolah. Ceramah disampaikan oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mustapha Turun dari Jabatan Kesihatan daerah, di sini.

Abdul Rahim berkata, antara pengisian program ceramah itu adalah untuk menjelaskan kepada peserta mengenai tanggungjawab mereka ketika menyediakan makanan di premis seperti aspek kebersihan diri, kesihatan, kebersihan premis termasuk tandas.

Katanya, sikap dan amalan positif perlu diterjemah menerusi tindakan dalam urusan perniagaan seperti penyediaan makanan yang bersih dan bebas dari pencemaran kerana ia merupakan elemen penting yang menjadi harapan dan hasrat kementerian untuk melihat masyarakat yang sihat dan cergas.

Replika Udang, 'Otak Udang', Bagang dan 'Bangang'


Replika Udang dah siap dibina di kawasan bulatan jalan (round-about) dekat pekan Kunak di sini. Namun banyak pihak mempersoalkan kewajaran memilih udang sebagai replika untuk daerah Kunak. Persoalan itu ditimbulkan oleh beberapa kumpulan sama ada individu, pekerja swasta dan termasuk juga ada dikalangan kakitangan awam yang menyuarakan pendapat mereka kononnya Udang tidak sesuai dipilih sebagai replika di kawasan itu.

Rata-rata mereka mengatakan, udang sukar diperolehi di Pasar basah (Pasar Ikan) di Kunak. Kalaupun ada secara kebetulan sahaja. Itupun hanya udang bersaiz kecil atau sesuai dikatakan saiz S sahaja yang kerap dipasarkan di pasar basah itu oleh peniaga. Yang menjual pula hanya satu atau dua orang peniaga sedangkan hampir 30 orang penjaja berada di pasar basah tersebut.

"Jadi, kenapa udang dipilih sebagai replika di Kunak", tanya seorang rakan yang hanya mahu dikenali sebagai Liey.

Seorang lagi mengatakan dengan nada sinis "Udang apa itu? .. Teringat pula aku peribahasa Otak Udang apabila melihat replika itu", getus pemuda yang satu lagi ketika melintasi kawasan round-about tersebut.

Banyak daerah di Sabah termasuk Tawau, Lahad Datu dan Kunak dengan pengusaha industri akuakultur menjalankan perusahaan penternakan udang dalam kolam atau ternakan udang di dalam sangkar.

Alasan kukuh yang diberikan oleh pihak pentadbiran daerah Kunak mengenai pemilihan udang sebagai replika di kawasan tersebut adalah berdasarkan : Industri akuakultur seperti penternakan udang untuk pasaran tempatan dan eksport telah dijalankan di daerah itu oleh syarikat dan individu. Sebab itulah - replika udang dipilih menghiasi salah satu kawasan bulatan jalan di daerah Kunak.
Besar mana jumlah pengeluaran udang di daerah Kunak bagaimanapun belum mengatasi jumlah pengeluaran hasil laut yang lain seperti ikan !

"Kenapa pula pilih udang dan bukan ikan?", tanya seorang lagi pembaca.
Saya menjawabnya selamba, "Replika ikan sudah dipilih menghiasi bulatan jalan di daerah Semporna, dan mungkin sebab itu pihak pentadbiran daerah Kunak memilih udang sebagai replika bagi daerah ini.."

November lepas, saya telah menemubual Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang di pejabatnya mengenai pemilihan replika Udang yang menghiasi lanskap pekan Kunak. Artikel itu telah disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan dan laman blog ini.
Saya juga mendapat maklumbalas menerusi sistem mesej singkat (SMS) daripada Pegawai Daerah Kunak berhubung pemilihan replika Udang itu.
Dalam perbualan saya dengan Datuk Nilwan, beliau menjelaskan secara ringkas bahawa pemilihan replika Udang itu adalah berdasarkan adanya industri akuakultur (penternakan udang) di daerah Kunak yang telah memberi sumbangan ekonomi kepada daerah tersebut dan negeri Sabah amnya.
Selain itu, menurut beliau, dua lagi bulatan jalan (round-about) yang masih kosong akan dihiasi dengan replika selain replika udang tersebut.
Dua kawasan bulatan jalan yang dimaksudkan itu ialah di hadapan Hospital Kunak dan sebuah lagi di kawasan Simpang Empat, Jalan Kunak-Tawau.

Menurut Adun Kunak dan Pegawai Daerah di sini, terdapat cadangan untuk membina replika Bagang (alat menangkap ikan) di salah satu lagi bulatan jalan yang masih kosong itu. Cadangan itu berasaskan kapasiti bahawa nelayan Kunak masih banyak menggunakan alat tangkapan seperti Bagang untuk memperoleh hasil laut secara pukal. (Ringkasnya)
Itu bagaimanapun hanyalah sebagai satu cadangan daripada beberapa pihak tertentu sahaja yang dikemukakan untuk perhatian pihak Adun dan Majlis Daerah tetapi belum dimuktamadkan.

Saya berpendapat, selepas Replika Udang yang siap dibina mendapat pelbagai reaksi pro dan kontra daripada masyarakat / suatu mekanisme yang lebih berkesan harus diguna-pakai oleh pihak-pihak terlibat khususnya dalam membuat keputusan yang lebih konsisten. Tujuannya supaya segala pembangunan atau pembinaan mercu tanda yang terlaksana di kemudian hari mendapat respon yang lebih baik daripada masyarakat umumnya.

Mungkin bukan seratus-peratus dikalangan kita dan orang luar yang pro terhadap pembinaan sesuatu replika itu, tetapi unjuran kepada pencapaian pendapat positif yang melebihi separuh daripadanya adalah diharapkan!..

Kalau dulu selepas siapnya replika udang mengundang bahan humor dan sinis dengan pelbagai sindiran seperti 'Otak Udang', kita mungkin tidak mahu dan mungkin ramai yang Tidak Setuju jika pihak pentadbiran daerah Kunak membina replika Bagang di bulatan jalan pada masa akan datang (meskipun terdapat cadangan seperti itu sebelum ini).

Kita tidak mahu ada lagi yang menyuarakan rasa pesimistik dengan menyatakan
'Replika Udang.. Otak Udang, Bagang dan.. Bangang!!'
Maksud Otak Udang dan Bangang sama-sama pandir...

Ringkasnya, justifikasi, konsisten dan berfakta perlu diutamakan sebelum mereka cipta sesuatu replika itu berdasarkan elemen-elemen yang boleh menguatkan hujah kita untuk menterjemah penjelasan disebalik pembinaan sesuatu replika.
Ada mungkin replika yang dibina tersirat seribu satu cerita untuk dikongsi dengan masyarakat bukan sahaja untuk penduduk setempat, tetapi juga orang luar dan pelancong asing yang bertandang ke sini.

Selamat dan salam.


Wednesday, December 23, 2009

Sorotan 2009 : Pelbagai peristiwa dalam kenangan

Tahun 2009 tinggal beberapa hari lagi akan berakhir dan kita akan melangkah ke tahun baru 2010 (InsyaAllah). Pelbagai peristiwa yang berlaku di sekitar daerah Kunak sepanjang tahun 2009 sesungguhnya mungkin telah memberi banyak kenangan manis dan pahit, yang boleh kita jadikan iktibar bersama. Begitu juga dengan senario semasa yang berlaku dalam pentas politik yang tidak pernah sunyi daripada pelbagai berita dan peristiwa penting.

Beberapa peristiwa yang turut menarik perhatian umum seperti kejadian kemalangan jalanraya, kematian, kebakaran dan banyak lagi peristiwa berlaku di sekitar daerah Kunak sepanjang tahun 2009.

12 February lalu, peristiwa yang melibatkan kematian seorang pekebun kecil berumur 46 tahun di kawasan tanah Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad (SKPTTB) yang menjadi pertikaian antara syarikat koperasi berkenaan dengan 171 pekebun kecil Tingkayu, Kunak. Kejadian itu telah menjadi perhatian ramai dan mendapat liputan meluas media di negara ini.

16 Mac - seorang ibu berumur 30 tahun dan anak lelakinya maut dalam kejadian kemalangan ngeri berhampiran bulatan jalan dekat Simpang Empat Kunak selepas dirempuh oleh sebuah Lori tangki pengangkut minyak sawit mentah (CPO) yang hilang kawalan. Kejadian itu telah disiasat dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan .

Sementara itu, bagi pelajar SMK Kunak, mereka meraikan satu kejayaan besar bagi sekolah tersebut ketika 40 orang pelajarnya berjaya mencipta rekod berlari selama 120 jam tanpa henti menerusi acara 40 X 400 meter, lari berganti-ganti yang bermula pada 17 April hingga 22 April. Program tersebut telah direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBR) . "Kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama padu dikalangan warga pendidik, ibubapa (PIBG) dan pelajar", kata Yang-dipertua PIBG Sekolah itu, Abdul Rahim Wahab. Majlis penutupan program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Silam, Hj.Salleh Kalbi.

23 Mei merupakan hari bertuah kepada saudari Victoria Yam, 24, kerana beliau dipilih sebagai Unduk Ngadau Kunak 2009 dalam Pesta Kaamatan peringkat daerah yang diadakan di Kampung Kadazan, di sini . Victoria mewakili Kunak dalam Pesta Kaamatan peringkat negeri pada 30-31 Mei.

Beberapa kes kebakaran melibatkan rumah kediaman di beberapa buah kampung di daerah ini antaranya yang berlaku di Kg.Sungai Atas dan Kg.Bagiang telah mengakibatkan kehilangan harta benda yang mencecah ratusan ribu ringgit. Bukan mudah untuk 'menentang' api yang marak begitu cepat. Berikutan kejadian itu, masyarakat diseru agar mengambil langkah-langkah berkesan dalam mencegah malapetaka tersebut.

1 Ogos 2009 - perasmian program Gotong-royong perdana berkonsepkan 1 Malaysia melibatkan lebih 1,000 orang di tapak cadangan Projek Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) di Kg.Kunak Tiga. Perasmiannya telah disempurnakan oleh Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang dan turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Kunak, Susilo Sumarto.

September 2009 - daerah ini juga tidak terkecuali daripada dilanda jerebu yang mengakibatkan jarak penglihatan sehingga 2-3 kilometer . Keadaan jerebu yang disifatkan sebagai antara terburuk pernah berlaku di daerah Kunak. Difahamkan, fenomena itu terjadi disebabkan aktiviti pembakaran terbuka di negara jiran yang membawa kesan kepada beberapa daerah pantai timur Sabah.

Dalam usaha mengurangkan kes kemalangan jalanraya, Ops Sikap antara pendekatan yang diadakan setiap tahun oleh Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) semasa musim-musim perayaan bagi menyedarkan orang ramai mengenai pentingnya pemanduan berhemah di jalanraya . Untuk tahun ini, Kunak merekodkan lapan kes kemalangan dalam Ops Sikap semasa sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang lalu.

17 Disember - Kemalangan melibatkan seorang wanita dan cucunya di KM 5, Jalan Kunak-Lahad Datu. Dalam kejadian itu, mangsa maut di tempat kejadian ketika melintas jalan selepas dilanggar oleh sebuah teksi dan Bas Ekspres .

Pentas politik semasa turut menyaksikan beberapa peristiwa seperti kemasukan beberapa anggota Umno-BN ke kem pembangkang baru-baru ini. Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kunak telah mempunyai 12 cawangan terkini yang menerima kemasukan ahli-ahli baru itu termasuk dari parti Pasok, Umno, PBS dan beberapa individu lain. Borang kemasukan mereka ke dalam PKR diterima oleh Pengerusi Perhubungan PKR Sabah, Ahmad Thamrin Hj.Jaini (Berita itu turut disiarkan dalam akhbar tempatan dan beberapa laman blog).






Monday, December 21, 2009

Peniaga kecewa KP 'ditahan' bank

KUNAK : Seorang peniaga di sini keliru dan kecewa dengan sikap kakitangan sebuah bank di Tawau yang seolah-olah sengaja tidak mahu bertanggungjawab dengan 'kehilangan' Kad Pengenalan beliau ketika berurusan di kaunter bank berkenaan pada Rabu lepas.

Roslie Tangka @ Tanga, 42, berkata, kakitangan bank itu menafikan menyimpan dokumen pengenalannya - terasa seperti beliau diaibkan oleh kakitangan di sana.

"Adalah mustahil kakitangan tersebut tidak tahu di mana dia (kakitangan itu) meletakkan Kad Pengenalan saya selepas dia memintanya ketika saya memberikannya atas urusan pengeluaran wang di kaunter dalam bank tersebut.

"Adalah mustahil pihak bank boleh mengeluarkan wang simpanan saya jika saya tidak membawa Kad Pengenalan ketika itu", katanya.

Tambahnya, beliau akan menimbang untuk membuat laporan Polis berhubung kejadian itu.

Katanya, pihak Bank tidak boleh 'menahan' atau mengambil Kad Pengenalan sesiapapun secara membuta-tuli tanpa alasan yang munasabah.

"Saya difahamkan, hanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang boleh menahan atau mengambil Kad Pengenalan seseorang jika berlaku sebarang kesulitan atau sebab-sebab tertentu.

"Selepas berkali-kali bertanya mengenai masalah itu kepada kakitangan bank tersebut, Kad Pengenalan saya masih belum diperolehi walaupun wang telah dikeluarkan oleh kakitangan bank terbabit".

Sementara itu, pihak bank berkenaan di Tawau tidak dapat dihubungi untuk ulasan lanjut.

'Mesin ATM perlu ditambah' : Kaunselor

KUNAK : Dua buah bank yang beroperasi di sini (Malayan Banking Berhad - Maybank dan Bank Simpanan Nasional - BSN ) digesa menambah bilangan mesin juruwang automatik (ATM) masing-masing kerana kemudahan itu sangat diperlukan oleh orang ramai terutama ketika waktu sibuk khususnya ketika pelanggan mereka mengambil gaji.

Kaunselor Majlis Daerah Kunak (MDKNK), Abdul Rahim Wahab berkata, ketika ini bank-bank berkenaan hanya menyediakan sebuah sahaja mesin ATM di luar premis mereka menyebabkan sering berlaku 'kesesakan' kepada orang ramai yang berbaris panjang menunggu giliran mereka untuk mengeluarkan wang melalui mesin tersebut.

"Setiap kali ketika tarikh gaji telah tiba dan musim-musim perayaan termasuk Hari Raya, Tahun Baru Cina, Krismas dan Deepavali, berlaku kesesakan di kawasan ATM kerana orang ramai terpaksa berbaris panjang menunggu giliran mereka", kata Abdul Rahim sambil memberitahu terdapat aduan lisan daripada orang ramai di sini sebelum ini yang mencadangkan supaya pihak bank berkenaan menambah mesin ATM bagi memudahkan urusan orang ramai.

Beliau yang juga Pengerusi USBO Cawangan Kunak berkata, pihak bank juga perlu menyedari keperluan semasa dan mengkajinya serta menambah baik sistem mereka bagi faedah masyarakat bersama.
"Saya yakin dan percaya, pihak pengurusan bank-bank berkenaan di sini menyedari perkara ini kerana situasi tersebut sudah bertahun-tahun lamanya dan berlarutan hingga sekarang".
"Konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan - wajar dipraktik dan diterapkan dalam sistem dan perkhidmatan oleh setiap jabatan bukan sahaja di pihak kerajaan, malah meliputi sektor swasta dan juga syarikat perbankan", katanya kepada pemberita di sini.

Tinjauan mendapati, ada ketikanya, orang ramai terpaksa 'membazirkan masa' selama 20 minit atau lebih daripada itu untuk menunggu giliran mereka kerana terpaksa berbaris panjang di luar premis itu untuk menggunakan mesin ATM di bank-bank berkenaan.
"Lebih menyulitkan lagi, ada juga ibu-ibu mengandung dan orang-orang tua terpaksa berdiri lama menunggu giliran mereka kerana satu sahaja mesin ATM yang disediakan di situ", jelasnya.

Persatuan belia disaran lebih proaktif

Oleh Ibrahim Tabir
KUNAK : Persatuan belia sedia ada di sini disaran agar lebih proaktif dan menggandakan usaha dalam menjalankan aktiviti mereka khususnya yang berkaitan masyarakat.

Pegawai Khas kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Sohaimi Sahadan berkata, ini termasuk memberi pendedahan jelas mengenai peranan, tanggungjawab dan produktiviti yang boleh diperolehi menerusi penglibatan dalam persatuan yang secara langsung - memberi kesan kepada komuniti dan masyarakat.

Sohaimi yang juga Exco Pemuda Umno Malaysia berkata, persatuan belia juga perlu meneroka pelbagai bidang yang boleh diceburi di kawasan masing-masing dengan mengenalpasti produktiviti yang boleh dihasilkan berdasarkan potensi dan sumber yang ada.

Persatuan sedia ada, ujarnya, boleh mengemukakan sebarang cadangan atau program yang mereka hendak lakukan kepada wakil rakyat (Adun atau Ahli Parlimen) untuk diteliti dan dilaksanakan.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis bersama belia yang diadakan di Rumah Rehat Kerajaan, dekat sini - Khamis lalu.

Turut sama di majlis itu, Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang, dan beberapa pegawai dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kunak, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian dan Tekun Nasional.

Sementara itu, Sohaimi berkata, agensi-agensi kerajaan seperti PPK, Jabatan Pertanian Jabatan Perikanan akan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada masyarakat dalam usaha meningkatkan produktiviti ekonomi mereka.

Dalam pada itu, beliau menyeru persatuan belia di sini supaya bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bersedia berbincang untuk mencari mekanisme berkesan dalam menggunapakai kepakaran yang ada dikalangan mereka bagi menjalankan suatu program yang boleh memberi kebaikan kepada persatuan dan masyarakat amnya.

Friday, December 11, 2009

Bunga Raya semakin dilupakan..?

Apabila berkunjung ke premis bangunan atau persekitaran pejabat jabatan kerajaan di sini, kebanyakan hiasan pokok yang dijadikan lanskap kawasan hanya pokok bunga kertas (Bougainvillaea), Aloe vera (Lidah buaya) atau pokok-pokok renik yang lain.
Jarang sekali kelihatan pokok Bunga Raya. 'Kalaupun ada, hanya di satu-satu kawasan sahaja dan boleh dihitung dengan jari..'

Suatu keadaan yang berbeza pula, ketika melintasi kawasan syarikat perladangan swasta di sini, saya rasa teruja melihat banyak pokok Bunga Raya yang ditanam dan menghiasi lanskap kawasan tersebut berbanding persekitaran pejabat jabatan kerajaan.

Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Malaysia dan sepatutnya kita perlu seiring untuk menggalakkan penanaman bunga raya sama ada di persekitaran rumah, pejabat atau tempat-tempat umum yang difikirkan sesuai.

Terdapat beberapa varieti Bunga Raya seperti ; King Kakalua, Mystic Pink, Timeless, Pepper's Surprise, Brilliant, Fire, Feelin Blue, Apricot Brandy, Berganda, Heart And Soul, Pastel Pie dan Kinchen's Yellow, antara lain yang boleh dijadikan hiasan di persekitaran rumah dan pejabat.

Ketika meninjau persekitaran rumah kediaman di kampung-kampung, Bunga Raya sudah jarang dilihat..! apatah lagi di kawasan pekan dan persekitaran pejabat.

Adakah Bunga Raya sudah semakin dilupakan..?

Bunga raya dicadang sebagai hiasan dikawasan replika


Replika Udang di bulatan keliling jalan dekat pekan Kunak di sini sudah siap dibina dengan 'tiga ekor' udang kelihatan seperti bertenggek di situ. Pegawai Daerah Kunak, Susilo Sumarto dalam satu kenyataan sebelum ini kepada pemberita berkata, pemilihan udang sebagai replika bagi daerah itu antara lain ialah - daerah Kunak merupakan kawasan di pantai timur Sabah yang mengusahakan industri akuakultur seperti penternakan udang dalam kolam yang dijalankan oleh beberapa syarikat dan individu termasuk ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di sini.
Difahami, kebanyakan udang yang diternak dalam kolam dan dituai pada masa sesuai akan dijual untuk eksport dan juga di pasaran tempatan.

Dalam perkembangan lain, beberapa orang penduduk di sini yang ditemui berpendapat, adalah lebih elok sekiranya kawasan round-about (bulatan keliling) yang menempatkan replika udang itu dihiasi dengan tanaman pokok Bunga Raya.

Bunga Raya merupakan bunga kebangsaan negara kita.

Usaha untuk menerapkan pengetahuan kepada masyarakat mengenai Bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan haruslah berterusan dan lebih-lebih lagi kepada generasi muda ketika ini.

Bunga Raya atau nama saintifiknya Hibiscus Rosasinensis merupakan sejenis tumbuhan berbunga sepanjang tahun dalam genus Hibiscus yang sering ditanam sebagai pokok hiasan.
Bunga raya ialah bunga kebangsaan Malaysia. Selepas mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian telah diarah untuk mencadangkan bunga yang sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan. Pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu antaranya, Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung.

Selepas perbincangan pada 28 Julai 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu (ketika itu).
Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan Malaysia, Bunga Raya terus diguna sebagai Bunga Kebangsaan.

Bunga ini ditanam secara meluas sebagai hiasan di kebanyakan kawasan tropika dan separa tropika.

"Disebabkan belum ada tumbuhan hiasan di kawasan replika tersebut di sini, adalah elok sekiranya pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Kunak (MDKNK) mengambil idea berkesan dengan mengindahkan kawasan bulatan jalan itu dengan menanam pokok Bunga Raya. Ini adalah cadangan dan pandangan peribadi saya sebagai penduduk Kunak yang cintakan kehijauan alam", kata Sulaiman (seorang penduduk di sini).

Menurut Sulaiman, pemilihan replika Udang di round-about itu juga tidak sepatutnya dijadikan 'bahan sinis' oleh golongan tertentu yang masih berfikiran pesimis dengan menterjemah pelbagai tafsiran yang kurang bijak berkaitan Replika Udang sehingga ada yang membuat tanggapan negatif dan melemparkan kenyataan dengan mengatakan Otak Udang sebagai melabelkan replika berkenaan - seperti yang tersiar dalam blog tertentu di internet sebelum ini.

Wednesday, December 09, 2009

14 kelas SMK Kunak Jaya dibuka tahun depan

KUNAK : Empat belas buah bilik darjah akan dibuka pada Januari tahun depan sebagai kemudahan kepada pelajar SMK Kunak Jaya sementara menunggu kerja-kerja pembaikan semula bangunan sekolah itu yang retak sebelum ini.

Pengerusi Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Sahing Taking berkata, kesemua bilik darjah yang disediakan di kawasan sekolah itu adalah sebagai persediaan rapi untuk menampung jumlah pelajar dalam sesi persekolahan baru akan datang.

Sejak masalah keretakan serius pada bangunan sekolah Mac lalu, yang dipercayai akibat impak gegaran, proses pembelajaran dan pengajaran terganggu sehingga pihak PIBG dan sekolah terbabit terpaksa membina khemah sementara dan menggunakan kantin serta dewan sekolah sebagai tempat belajar.

Justeru itu, pihaknya dan sekolah itu berterima kasih kepada Jabatan Pelajaran dan Ahli Parlimen kawasan itu atas inisiatif dan bantuan yang diberikan.

Tinjauan keretakan bangunan itu telah dilakukan oleh Ahli Parlimen (MP) Silam, Hj.Salleh Kalbi pada Julai lalu dan mendapat liputan meluas dari akhbar tempatan.

Menurut Sahing, sepuluh daripada empat belas bilik darjah yang baru siap itu dibina menggunakan konkrit dan papan.

"Saya yakin dengan adanya bilik darjah tambahan itu, proses pembelajaran dan pengajaran akan berjalan sempurna dan para pelajar dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka", katanya.

Kerja-kerja membaikpulih bangunan yang retak itu masih dilakukan dan apabila ia telah diluluskan dan disahkan selamat untuk digunakan, para pelajar akan dipindahkan semula ke bangunan tersebut seperti sedia kala, tambahnya.
- IT

MOU


Memorandum of Understanding (MOU)
Dr.Azizan Ahmad (left) representing the Himpunan Institut Pendidikan Tinggi Malaysia (HALUAN), and United Sabah Islamic Association (USIA) Kunak Chief, Arif Salim, signing the Memorandum of Understanding (MoU) during a Dakwah seminar last Saturday here.

Monday, December 07, 2009

Hanya kroni, proksi kaut projek?

1. Projek-projek infrastruktur dan kemudahan untuk rakyat hanya dilakukan oleh syarikat kontraktor yang ada hubungan rapat dengan pemimpin @ mereka yang menjawat jawatan diperingkat tertinggi dalam jabatan tertentu. Benarkah hanya dikalangan kroni sahaja yang diberi peluang untuk mendapatkan kontrak kerajaan? Apabila sesuatu projek siap, adakah tahap piawaian dan kualiti memenuhi standard yang diperlukan?

2. Terdapat juga kerja-kerja projek seperti meradu batu kerikil di kawasan tertentu seperti atas jalanraya atau bahu jalan yang tidak diketahui dijalankan oleh siapa atau syarikat mana? Perlu diingat, adakah projek sebegitu rupa berupaya memberi manfaat dalam jangka panjang? - Ada ketika, tidak terdapat papan tanda menunjukkan kerja itu dilakukan pada tarikh mula dan siapnya? (seperti yang sepatutnya dilakukan).

3. Kebanyakan projek kecil dan sederhana dimonopoli oleh proksi atau di sub-contract yang dilakukan oleh syarikat atau kroni terdekat - dalam erti kata lain kontraktor-kontraktor yang bukan boleh dijadikan teman akan dipulaukan !.

Dari kawasan pekan, hingga ke kampung dan desa terpencil, situasi yang disebutkan di atas telah menjadi seakan budaya bagi mereka yang mengejar kemewahan yang akhirnya gagal menerap konsep keadilan dan kesaksamaan yang memberi peluang kepada golongan kerdil untuk merasai nikmat kesenangan bersama. Akibat dari itu, wujud ruang lingkup yang menjejaskan permuafakatan.

Apabila berbicara mengenai muafakat yang perlu dibentuk dalam komuniti yang luas, wujudkah sudah kesepakatan, toleransi dan keadilan dalam sistem yang kita bina? atau hanya sistem seperti situasi yang disebutkan tadi?
Jika belum jawapannya, - tidak perlu kita bertanya dan melolong kepada rakyat tentang perlunya ada kerjasama dengan sistem kerana sistem yang tadi masih gagal ditadbir-urus dengan bijak dan adil.

Mungkin kerana, hanya kroni atau proksi yang berlegar dalam sistem tadi untuk kaut projek yang ada? mengakibatkan kita sudah jauh tersasar dan terlepas pandang untuk menyelami dengan jelas maksud 'muafakat' dari skop yang lebih luas.

Rakyat sentiasa melihat dan memerhati gerak-laku kita.

Wednesday, December 02, 2009

PRU 13:Mampukah PKR tewaskan UMNO di Kunak?

Sekiranya Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih bernafsu untuk bertarung merebut kerusi DUN Kunak pada Pilihanraya Umum Ke-13 (mungkin dua tahun dari sekarang) , mampukah parti dari Pakatan Rakyat itu menewaskan UMNO-BN ?

Kawasan N.51 Kunak adalah kawasan yang disifatkan sebagai zon putih (menang mudah) bagi BN, bukan untuk PKR atau Bebas ataupun mana-mana parti lawan bagi UMNO-BN di situ.

Persaingan untuk menawan hati pucuk pimpinan BN Negeri dan Pusat bagi sesetengah individu yang mahu menjadi calon Barisan Nasional di kawasan ini agar dipilih untuk diletak sebagai calon BN dalam PRU 13 sudah kedengaran walaupun tempoh untuk menunggu masa pilihanraya tidak sesingkat yang mungkin?

PKR dilihat sentiasa mengintai pergolakan politik dalaman dalam UMNO-BN di Kunak, begitu juga di pihak BN, mereka peka memantau situasi semasa dan merisik khabar dari orang-orang tertentu untuk mencari maklumat semasa berkaitan peristiwa dan berita terkini dari pihak parti lawan. Ringkasnya, masing-masing mengatur strategi.

Berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, PKR kini menggunakan pendekatan lebih mesra untuk menarik minat individu tertentu dalam UMNO-BN sebagai gerak-saraf mereka untuk menewaskan calon BN pada PRU 13 akan datang.
Siapa pula calon BN pada pilihanraya ke-13 nanti ?.
Ketika ini, wakil rakyat Kunak, Datuk Nilwan Kabang merupakan orang tempatan daerah ini yang telah berjaya menawan kerusi N.51 pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu.
Pemilihan Nilwan sebagai calon BN dalam PRU 12 adalah berdasarkan antara lain beliau merupakan orang tempatan @ orang Kunak yang disebut-sebut ketika itu untuk bertanding di kerusi N.51 - Ketika itu juga, sentimen kedaerahan bertiup kencang dimana pengundi di sini Tidak Mahu calon BN untuk kerusi Kunak diberi kepada orang luar @ calon import.

Dalam perkembangan sama, PKR turut menggunakan kriteria bagi mencari dan menilai kemampuan individu tertentu yang boleh mempengaruhi pengundi dengan mengetengahkan beberapa isu tempatan dan juga isu global.
Ada yang melihat bahawa, sekiranya pucuk pimpinan PKR berjaya menawan hati individu tertentu dalam Umno-BN untuk menyertai parti pakatan itu dan mengangkat individu terbabit sebagai calon mereka pada PRU13, terdapat kemungkinan yang tidak diragui bahawa PKR boleh memberi saingan sengit kepada calon BN (berdasarkan pengaruh, kriteria dan strategi berkesan) yang digunakan oleh parti-parti bertanding.

Bagaimanapun, adalah sukar untuk mengatakan yang PKR boleh menewaskan BN di Kunak pada PRU 13 dan tidak mustahil BN boleh menerima kekalahan dalam pilihanraya akan datang seandainya beberapa isu berkaitan permasalahan rakyat masih gagal diatasi kerana BN telah diberi mandat selama tiga penggal mentadbir kawasan ini .
Bagaimana pula sekiranya terdapat beberapa calon Bebas yang akan bertanding pada pilihanraya umum akan datang ?.
Mampukah BN menambah jumlah undi yang diperolehinya pada PRU 12 atau melihat kepada penurunan jumlah undi tersebut?.
Zon putih @ zon selesa bagi BN di Kunak boleh berubah mengikut masa dan keadaan tertentu. Mungkin kawasan N.51 ini boleh menjadi zon kelabu atau zon hitam bagi BN?. Itu tidak mustahil berlaku.

Tuesday, December 01, 2009

Ibadah Korban pupuk kerjasama, perpaduan

KUNAK : Majlis Ibadah Korban Berkelompok yang diadakan pada 28 November lepas, sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha berjaya memupuk semangat kerjasama dan mengerat perpaduan yang terjalin menerusi kesepakatan menjalankan gotong-royong bersama untuk merasai nikmat kesejahteraan dalam komuniti pelbagai kaum dikalangan umat Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak, Datuk Nilwan Kabang berkata, Majlis Ibadah Korban Berkelompok itu membuktikan bahawa semangat gotong-royong menjalin perpaduan dan kerjasama yang dipupuk perlu dipertingkatkan lagi bagi mempermudah pembangunan masyarakat untuk menuju kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap di Majlis Ibadah Korban Berkelompok anjuran bersama Pejabat Adun Kunak, Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam (Jheains), Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Himpunan Lepasan Institut Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN).
Lima belas ekor lembu dikorbankan pada sambutan Hari Raya tahun ini, di sini menerusi program tersebut.

"Kerjasama dan semangat perpaduan oleh masyarakat, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam majlis seperti ini merupakan bukti terjalinnya persefahaman dan semangat gotong-royong", katanya.

Daging-daging korban itu kemudian disampaikan kepada Pengerusi JKKK dan Ketua-ketua Kampung untuk diagih-agihkan kepada penduduk dan mereka yang memerlukan.

Pengundi di Kunak masih sokong BN jika?

Barisan Nasional (BN) masih mampu mengekalkan kerusi DUN Kunak sebagai kubu-kuat mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) 13 akan datang sekiranya dasar-dasar dan perjuangan pemimpin di kawasan itu mengutamakan kepentingan rakyat dengan mengambilkira penyediaan kemudahan asas serta peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di pelbagai sektor. (Kenyataan ini bukan pula bermaksud yang pemimpin BN sekarang ini mengabaikan tanggungjawab mereka, tetapi pencapaian yang telah diperolehi harus ditingkatkan lagi dengan memberi penekanan kepada perkara yang diperlukan oleh rakyat).

Salah satu perkara penting yang wajar dinilai ialah corak organisasi dan pengagihan jawatan secara adil dalam kabinet kepimpinan diperingkat DUN tanpa adanya diskriminasi, nepotisme dan kronisme kerana perkara ini sering menjadi buah mulut dan perbualan di kedai kopi setiap kali sebelum atau selepas berlangsungnya pilihanraya diadakan.
Bagaimanapun, seperkara yang biasa berlaku ialah, kuasa untuk melantik siapa yang dipilih sebagai kakitangan bawahan adalah kuasa mutlak wakil rakyat atau pemimpin itu.

Sejarah pilihanraya bagi kawasan DUN Kunak pada PRU 10, PRU 11 dan PRU 12 yang lalu turut mempengaruhi bilangan @ jumlah undi yang diperolehi calon BN yang bertanding. Sama ada berlaku penambahan atau penguncupan jumlah perolehan undi-undi daripada pemilih berdaftar dalam keputusan-keputusan pilihanraya tersebut, konsep kepimpinan melalui teladan wajar dipraktikkan dengan mengambilkira aspek perjuangan membela nasib rakyat, berlaku adil dalam melantik kakitangan bawahan berdasarkan kriteria, kebolehan, karisme, pendidikan dan keupayaan untuk bekerja sebagai satu pasukan yang mantap, berpengaruh dan tidak mudah untuk dimanipulasi bagi tujuan tertentu.

Setiap kali musim pilihanraya, pelbagai kelompok atau kumpulan wujud bagi membentuk suatu tujuan yang antara lain memberi fokus kepada menonjolkan seseorang individu untuk dipilih sebagai calon parti-parti yang mahu bertanding. Kendatipun, situasi ini akan reda seketika apabila calon parti yang bertanding telah diumumkan.
Sama ada penerimaan seseorang individu itu setelah diumumkan sebagai calon parti tertentu dapat diterima oleh masyarakat sekelilingnya, jentera parti akan bergerak untuk berkempen meraih sokongan daripada rakyat. Ketika masa itulah, mungkin wujud kelompok-kelompok yang berasa terkilan yang akhirnya mereka dalam parti bersikap tidak serius untuk menyokong calon tertentu dalam pilihanraya yang akhirnya jelas - keputusan perolehan undi menunjukkan peningkatan atau penguncupan. (Inilah yang berlaku pada PRU ke-11 dan PRU 12 yang lalu).
Jumlah undi yang sedikit atau banyak bukan perkara utama tetapi kemenangan dalam Pilihanraya adalah klimaks yang menjadi keutamaan bagi parti-parti bertanding kerana kemenangan itu membolehkan parti berkuasa dan calon yang dipilih tadi menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, pencapaian undi yang diraih sama ada sedikit atau bertambah memberi implikasi tertentu kepada parti-parti yang bertanding. Perspektif yang lebih luas perlu diambil kira dalam mencari sebab dan punca perolehan undi yang dicapai.

Bagi Barisan Nasional (BN), DUN Kunak merupakan kubu kuat parti tersebut walaupun terdapat tentangan daripada calon Bebas, Setia dan PKR yang pernah bertanding di kawasan tersebut pada pilihanraya-pilihanraya lalu. Walaupun begitu, pihak BN tidak sewajarnya leka dengan keadaan ini kerana gerakan-gerakan parti lawan dan mereka yang mahu bertanding sebagai calon Bebas sentiasa mengintai dari tirai yang kekadang ditiup oleh sepoi-sepoi yang menyebarkan haruman dari parti lawan untuk mempengaruhi ahli-ahli BN supaya menyertai PR (Pakatan Rakyat) atau mana-mana parti yang sentiasa mencuba nasib menawan kerusi DUN Kunak.

Pengundi di Kunak yang mencecah hampir 10,000 orang adalah mereka yang terdiri daripada golongan di usia tua, dewasa dan belia.
Bagi golongan usia tua, mereka mungkin masih kurang pendedahan dengan maklumat semasa berkaitan politik tempatan dan ada segelintirnya yang langsung tidak mahu mengambil peduli mengenai politik. Golongan dewasa dan belia pula yang cenderung kepada maklumat semasa di internet dan hebahan umum sentiasa melihat perkembangan dan situasi terkini untuk menaakul sebarang perkara berdasarkan persepsi masing-masing.

Selagi barisan kepimpinan BN di sini berjaya meneliti dan beupaya menaakul secara bijak untuk mendapat sokongan rakyat, pengundi di Kunak masih tetap menyokong BN pada PRU 13 sekiranya konsep mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat menjadi realiti dan bukannya fatamorgana.


ARKIB BLOG

PRU 13 : SIAPA CALON BN DUN KUNAK? (SCOOP 19 SIRI)

BURAS

BURAS
Buras or Burasa, which is made from rice and cooked in coconut milk, is usually served with beef and chicken dishes. For the Bugis Muslim community in Sabah East Coast, especially in Tawau, Kunak and Lahad Datu, Aidilfitri / Aidiladha celebration would not be complete without the Buras. Buras it is usually eaten with the 'ayam masak lengkuas'.

NEW KUNAK ATTRACTION? UNDERGROUND TUNNEL IN KUNAK, SABAH.

NEW KUNAK ATTRACTION? UNDERGROUND TUNNEL IN KUNAK, SABAH.
The underground tunnel (pictured) believed to be left behind by Japanese soldiers during World War II (WW2) has been identified as a potential tourist attraction in Kunak. Kunak Assemblyman, Datuk Nilwan Kabang explored the site with several officials on May 15 located at an oil palm estate owned by Sime Darby. The tunnel, which will also attract archeologists, is found to be unique in a sense. - click photo

EKSPLORASI KE LOKASI PRODUK PELANCONGAN BERPOTENSI - XPDC 2010 REPORT BY IBRAHIM TABIR